ARWAH penyanyi, Saleem Iklim dibawa menaiki kereta jenazah dan akan disembahyangkan selepas solat zohor di surau Al-Syakirin, Bandar Mahkota Cheras. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Ridzuan Abdul Rahman


“SAYA sempat melawatnya semalam. Sebagai kawan lama, firasat saya memang merasa hayat Saleem tidak akan lama.

"Akhirnya 6.30 pagi ini saya dikhabarkan dengan panggilan daripada isterinya, Juriah memberitahu berita sedih ini," kata pemain gitar Iklim, Umarul Mahdzar Embong, mengulas mengenai kematian Saleem.

Sebagai rakan karib sejak zaman awal pembabitan Saleem sebagai penyanyi, Umarul berkata, dia sudah merancang agenda untuk membantu Saleem.

"Saya dan beberapa rakan penganjur serta penaja sudah berbincang untuk menganjurkan satu konsert amal bagi mencari dana untuk tampung kos perubatan Saleem.

PENYANYI, Datuk Hattan (kanan) bersama penyanyi, Ameng Spring (kiri) dan anggota kumpulan Iklim, Umarul Mahdzar Embong sewaktu melawat jenazah arwah Saleem Iklim di Pusat Perubatan Unikebangsaan Malaysia. FOTO Khairul Azhar Ahmad

"Rancangannya 70 peratus akan diberikan kepada Saleem tapi kami reda hasrat ini tak kesampaian.

"Dalam senarai artis yang dicadangkan ada Mus May, Awie, Syafiq Farhain dan Ameng," katanya kepada Harian Metro.

Ditemui di perkarangan bilik jenazah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur, Umarul berkata, konsert ini sepatutnya berlangsung pada Disember.

"Buat masa ini biarkan perkara ini diam dahulu bagi menghormati arwah.

"Mengenali arwah, dia seorang yang ceria, tidak pernah murung dan ‘happy go lucky’.

"Kalau kita nak berkawan dengannya, kita kena memahaminya dengan lebih mendalam.

"Jika tidak, macam-macam perkara negatif akan diperkatakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 2:03 PM