Syafiq (kanan) mahu terus menyanyikan lagu arwah bapanya berdasarkan permintaan. FOTO Arkib NSTP


“BAGUSLAH, kau bawa lagu aku. Kau boleh bagi orang dengar semula lagu yang aku nyanyi dulu,” itu kata-kata yang pernah dikongsikan Allahyarham Saleem kepada anaknya Syafiq Farhain ketika hayatnya.

Menurut Syafiq, arwah bapanya gembira apabila dia menyanyikan seleksi lagu popular beliau dalam setiap persembahannya.

“Sebelum bergelar artis lagi saya memang suka menyanyikan lagu arwah dalam setiap persembahan.

“Insya-Allah saya akan terus bawakan lagu arwah, namun bergantung kepada permintaan,” katanya.

Syafiq berkata, dia akan meneruskan legasi lagu-lagu nyanyian arwah bapanya dan perjuangan seni nyanyian.

“Saya minat menyanyi memang bermula daripada arwah ayah kerana suka dengar lagu-lagu nyanyiannya.

“Malah, saya belajar menyanyi pun dengan mendengar lagunya. Jadi setiap ilmu dan gaya persembahan memang berdasarkan daripada cara nyanyian arwah. Jadi saya perlu teruskan legasi arwah,” katanya.

Semalam, Saleem menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) jam 6.15 pagi.

Saleem atau nama sebenarnya AM Saleem Abd Majeed, 56, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu selepas kemalangan motosikal pada 20 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 5:53 PM