RIZ Amin
Georgie Joseph


PELAKON Riz Amin mendedahkan rezeki berlakonnya semakin murah disebabkan dia memberanikan diri menghubungi penerbit mahupun pengarah sendiri untuk mendapatkan tawaran.

Riz, 33, berkata, dia mendapat keberanian itu sejak mula membuat papan matlamat untuk kelangsungan karier lakonannya sejak beberapa bulan lalu.

“Saya sedar papan matlamat itu sangat membantu selepas isteri saya cadangkan pada sekitar Mei lalu. Ketika itu, kerjaya saya goyah sedikit dan kurang tawaran lantas saya sahut cabaran isteri.

“Jelas papan matlamat sangat membantu di mana saya mendapat motivasi untuk merealisasikan setiap matlamat yang mahu dicapai. Matlamat itu termasuklah menghubungi sendiri penerbit atau pengarah untuk mendapatkan tawaran berlakon.

“Alhamdulillah, pendekatan saya itu sangat berkesan. Apabila menghubungi mereka sendiri dan memberitahu saya ada kelapangan, barulah senang untuk diberikan tawaran,” katanya.

Riz juga lega akhirnya sudah ada kelab peminat sendiri yang dinamakan Riz Amin Nation selepas berada dalam industri lakonan lebih 14 tahun.

“Kelab peminat itu ditubuhkan sejak tahun lalu dan saya harus berterima kasih kepada beberapa peminat yang memulakan operasi itu.

“Sejak berlakon bermula tahun 2004, saya sangat bersyukur apabila ada peminat yang sebenarnya tidak henti menyokong. Saya sendiri kini aktif menjalankan aktiviti bersama mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Riz teruja menantikan dua filem lakonannya iaitu Polis Evo 2 dan 7ujuh yang bakal ditayangkan pada sekitar bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 11:00 AM