DARI kiri Kid, Hashim, Shah dan Lotfan ketika sesi latihan bersama band blues.
Ridzuan Abdul Rahman


HATI siapa yang tidak tersentuh melihat penderitaan bayi yang baru berusia setahun enam bulan yang menghidap penyakit kegagalan fungsi hati atau biliary atresia.

Apatah lagi jika bayi malang itu anak kepada rakan baik sendiri yang buntu mencari dana bagi menampung kos perubatan yang perlu disediakan.

Ibu bapa bayi malang ini, Mohd Riduan Mhd Yunan, 38, dan isterinya Hamizah Azlan, 28, perlu menyediakan kos RM200,000 untuk pembedahan anak mereka, Ahmad Zeyad yang akan dilakukan di Hospital Renji, Shanghai, China.

Setakat ini mereka hanya berjaya mengumpul RM120,000 hasil bantuan badan bukan kerajaan, Nadi Permata, namun perlu mencari dana sebanyak RM80,000 lagi untuk pembedahan ini.

Menyedari kesukaran yang dihadapi mereka, pemain gitar kumpulan Search, Kid yang juga kenalan pasangan ini, mengambil inisiatif menganjurkan showcase Rockin’ the Blues yang akan berlangsung di Dewan Studio Warisan, Sijangkang, Klang malam esok.

Tujuannya adalah untuk mengumpul dana bagi disumbangkan kepada Mohd Riduan dan Hamizah supaya pembedahan Ahmad Zeyad dapat dilakukan secepat mungkin.

Pengarah Yassdar Archiworks Sdn Bhd merangkap pengurus projek, Mahyuddin Mohd Yassin berkata, Kid menganggap Ahmad Zeyad seperti anaknya sendiri.

“Kalau kita di tempat pasangan ini pun, memang tak boleh fikir apa-apa. Kawan hanya boleh cakap sabar dan pergi jumpa individu tertentu untuk dapatkan bantuan.

“Tapi Kid jenis tak fikir panjang dan lebih memikirkan masalah sahabat. Lokasi pun sudah ada, inilah sebabnya dia anjurkan showcase ini.

“Tambah lagi Kid dengar ramai pemuzik otai sudah rasa bermain di Dewan Studio Warisan. Pemiliknya Haji Khair tawarkan peralaan muzik yang bagus dan dia mesti cuba untuk rasa keistimewaannya,” katanya.

Menurut Mahyuddin, persembahan ini nanti menampilkan kelainan kerana kali pertama menggandingkan Kid atau nama sebenarnya Hamzah Mohd Taib dengan pemain gitar genre blues, Lotfan atau lebih dikenali sebagai Bluesman.

“Ini kerjasama pertama kedua-dua mereka. Bluesman seorang ‘pioneer’ dalam genre blues dan Kid kini menuntut ilmu dengan dia.

“Persembahan nanti akan dibahagikan kepada beberapa segmen dan antaranya tribute buat Allahyarham bapanya, Taib Othman seorang pencipta lagu.

“Menariknya persembahan ini akan menampilkan sentuhan ‘signature’ Kid yang dipadankan dengan blues,” katanya. Selain Kid, pemuzik lain yang terbabit dalam showcase ini ialah Zul sebagai penyanyi, Rod (bass) dan Sham (dram).

KID bersama Haji Khair.

Bluesman juga akan tampil dengan band bluesnya iaitu Shah Purple Haze (bass) dan Hashim Heavy Machine (pemain drum).

“Kid dan Bluesman ada projek khas menghasilkan album istimewa yang dijadualkan dipasarkan pada Disember nanti.

“Memandangkan ia masih lambat, Kid terfikir untuk adakan showcase ini terlebih dahulu untuk bantu Ahmad Zeyad.

“Haji Khair tak menggalakkan harga tiket yang mahal dan untuk itu Kid kenakan harga yang selesa iaitu RM35 untuk peminat yang lebih mesra dipanggil sahabat,” katanya.

Mahyuddin berkata, mereka cuba menggunakan kemahiran yang ada untuk membantu mendapatkan dana buat Ahmad Zeyad.

“Kid orang baik, begitu juga kawannya. Ramai yang berebut-rebut nak jadi ‘line up’ dalam persembahan ini biarpun tanpa bayaran.

“Inilah pertama kalinya satu kumpulan artis buat program bukan untuk berhibur tapi bantu sahabat. Mereka amalkan konsep ‘blood brothers’ walaupun tak kenal Ahmad Zeyad dan keluarganya.

“Kami bergerak tanpa penajaan kerana tak nak babitkan wang pihak lain. Ini antara rantaian kecil usaha penggiat seni untuk bantu mereka yang memerlukan dan diharapkan ia bukan setakat ini kerana akan cuba bantu sesiapa saja yang memerlukan bantuan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya melalui akaun Maybank milik Mohd Riduan, 512026662113.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 8:01 AM