MAN BAI di majlis sidang media Our Record mengenai program Pencarian Vokal Professional di Neway One Utama Bandar Utama. FOTO Zunnur Al Shafiq
Ardini Sophia Sina


PENYANYI Man Bai, 50, melarang anak perempuannya berusia 17 tahun mengikut jejak langkahnya sebagai penyanyi walaupun dia menunjukkan minat untuk menceburi bidang seni.

Man Bai atau Abdul Rahman Osman berkata, anaknya, Sarah Aishah boleh menyanyi dengan baik, namun berasa dia masih belum bersedia bergelar penyanyi.

"Dia pernah nyatakan hasrat untuk menjadi penyanyi, malah bercadang untuk menyertai pertandingan nyanyian terbitan stesen televisyen.

"Bagaimanapun, saya tidak izinkan. Dia sebenarnya boleh menyanyi tetapi masih belum bersedia. Saya akan okey kalau dia benar-benar bersedia. Buat apa mahu jadi penyanyi kalau sekadar suam-suam saja," katanya.

Man Bai yang terkenal dengan lagu Kau Ilhamku dan pernah menjadi anggota kumpulan Gersang pada 1981 mengakui dirinya seorang yang tegas dan lantang bersuara.

Diangkat sebagai juri pencarian bakat baharu anjuran label Our Records Sdn Bhd, Man Bai berkata, ia bukan tugas mudah tetapi percaya akan menemui penyanyi memenuhi kriterianya.

"Saya memang tegas dan lantang. Kalau sudah tak bagus, saya akan cakap begitu. Tidak ada tapi-tapi. Individu itu pun tidak perlu buang masa sebab bagi saya, kalau mahu jadi penyanyi biar terus meletup.

"Pencarian bakat baharu ini pasti akan mengambil masa yang lama. Kalau dengan anak pun saya cakap tak boleh menyanyi, inikan pula orang luar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 1:30 PM