Caption<ELFIRA Loy. FOTO Arkib NSTP
Michelle Gun


“TARIKH kahwin ada dalam hati saya, siapa boleh baca hati saya, mesti dapatlah agak,” kata pelakon Elfira Loy ketika menjawab pertanyaan media mengenai tarikh perkahwinannya.

Elfira 24, berkata tarikh perkahwinannya dengan jejaka bernama Faris akan berlangsung tahun depan selepas mereka bertunang pada 2 September lalu.

“Buat masa ini kami belum membuat persiapan untuk perkahwinan kerana masih lama lagi. Alhamdulilah, kami sudah selesai kursus perkahwinan,” katanya selepas pelancaran kempen AirAsia #Throughthelens, semalam.

Elfira yang juga pengacara berkata, dia tidak menghebahkan majlis pertunangannya bagi menghormati permintaan keluarga kedua-dua belah pihak.

“Pada mulanya kami cuma merancang untuk merisik, tetapi keluarga pihak lelaki kemudian mencadangkan lebih baik bertunang.

“Persiapan untuk majlis pertunangan dilakukan dalam tempoh lima hari dan hanya dihadiri ahli keluarga sahaja,” katanya.

Bintang drama Separuh Jiwaku itu berkata, dia bagaimanapun kurang pasti bagaimana gambar pertunangannya tersebar di media sosial dua jam selepas majlis selesai.

“Terkilan juga gambar majlis (pertunangan) tersebar, mujur keluarga pihak lelaki memahami.

“Saya tidak boleh kawal perkara itu daripada berlaku. Agaknya individu itu terlalu gembira untuk berkongsi hari kebahagiaan kami,” katanya.

Elfira pernah bertunang dengan penyanyi Sufian Suhaimi pada Oktober tahun lalu, namun hubungan mereka putus, Februari lalu.

Pada pelancaran AirAsia #ThroughTheLens, Elfira bersama artis Alvin Chong, Izara Aishah, Zahirah MacWilson dan Che Puan Juliana Evans dilantik sebagai wajah bagi kempen berkenaan.

Kempen itu memaparkan video perjalanan mereka ke destinasi popular AirAsia seperti Xi’an, Tokyo, Amritsar, Taipei dan Seoul.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 2:35 PM