Sudirman Mohd Tahir


“Malas nak baca komen negatif. Konsep saya sekarang, ada aku kisah,” kata penyanyi Siti Nordiana mengenai sikap segelintir ‘haters’ yang tidak berhenti mengkritik dirinya.

Siti Nordiana, 34, berkata komen yang ditulis di Instagram dianggap keterlaluan kerana menyentuh soal peribadi hingga menjatuhkan maruahnya.

Isu itu timbul apabila Siti Nordiana yang mesra disapa Nana menjadi rakan duet pasangan Billy Zulkarnaen pada Gegar Vaganza (GV).

Nana dikatakan gagal memberikan persembahan terbaik hingga mencacatkan persembahan pasangan duo itu menerusi lagu Hanya Memuji.

“Selepas menang GV lagi saya sentiasa dihujani komen keterlaluan. Tetapi saya diamkan saja dan tidak memberikan sebarang maklum balas.

“Namun, apabila mereka semakin melampau saya berasakan sudah sampai waktu saya harus tegur tindakan dan budi bahasa mereka.

“Saya juga manusia biasa yang punya hati perasaan serta tahap kesabaran. Bayangkan kalau kakak atau adik mereka diperlakukan seperti saya, apa perasaan mereka?” katanya kepada Harian Metro.

Nana berkata, kebanyakan ‘haters’ hanya ingin meraih perhatian daripadanya hingga sanggup memperlekehkan orang lain.

“Mereka nak sangat perhatian kan, sekarang saya sudah berikan. Bagi saya, kalau yang komen itu adalah golongan profesional, saya boleh terima sebab boleh ambil ilmu.

“Tetapi ini tidak. Apa yang dikomen sengaja nak menyakitkan hati. Malah apa saya perasan, mereka ini juga daripada orang sama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nana dipilih menjadi mentor dalam program Mentor 7 yang bakal bersiaran pada 4 November ini di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 3:00 PM