ERNIE Zakri akan keluar dengan single baru, bulan depan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
ERNIE Zakri akan keluar dengan single baru, bulan depan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Sudirman Mohd Tahir


HARAPAN peminat untuk menyaksikan lagu Misteri nyanyian Ernie Zakri mara ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik 33 (MM33) tidak kesampaian.

Apatah lagi, lagu ciptaan Goufran dan Sang Hitam disebut-sebut antara yang bakal memberi saingan dalam program mengiktiraf komposer dan penulis lirik itu.

Erni, 26, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri ketika dihubungi bagaimanapun menganggap ia bukan rezeki.

“Peminat sudah berusaha mengundi dalam meletakkan lagu ini pada kedudukan terbaik dalam carta Muzik Muzik 33. Sudah tentu mereka berasa kecewa apabila lagu ini tidak tersenarai ke peringkat separuh akhir.

“Apa pun, keputusan sudah dibuat. Sebagai penyanyi, saya anggap tidak ada rezeki untuk lagu ini. Insya-Allah, saya akan cuba yang terbaik lagi untuk lagu lain.

“Tipu kalau saya tidak berasa sedih, tetapi saya kena sedar dan berbalik kepada soal rezeki. Terima kasih kepada semua peminat dan pihak yang sentiasa memberi sokongan. Hanya Allah yang dapat balas jasa baik anda semua,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada keputusan itu membuatkan dirinya kecewa, Ernie sebaliknya menyifatkan dia menjadi lebih bersemangat.

“Saya sentiasa berfikiran positif dan tetap anggap lagu ini tidak ada rezeki. Saya tidak mahu fikir masalah lain.

“Apa yang penting sekarang, saya akan terus berikan yang terbaik dalam setiap karya selepas ini. Saya tidak mahu berputus asa hanya kerana lagu ini tidak layak ke separuh akhir.

“Insya-Allah, saya akan keluar dengan single baru bulan depan. Saya mengharapkan sokongan daripada anda semua,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif MM33, Nurhul Huda Khalid berkata, lagu itu tidak mencapai markah dan jumlah minggu ditetapkan.

“Lagu ini tidak cukup markah untuk layak ke separuh akhir. Ini kerana, syarat adalah sesebuah lagu kena berada di kedudukan Top 5 atau Top 10 dalam banyak minggu.

“Kalau lama dalam carta pun, tetapi tidak pernah Top 5 tak boleh juga. Sebagai contoh lagu baru Syamel, walaupun baru lapan minggu dalam carta, tapi lagu ini Top 5.

“Lagu satu, setiap lagu ada markah daripada juri profesional dan bukannya berdasarkan undian carta semata-mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 10:59 PM