NAQI terpaksa berjauhan dengan keluarga. FOTO/ AZIAH AZMEE
NAQI terpaksa berjauhan dengan keluarga. FOTO/ AZIAH AZMEE
Ramlah Zainal


BERMULA dengan aplikasi digital Smule dan YouTube pada 2016, Naqi Nasri nekad mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian.

Bagi pemilik nama sebenar Mohd Naqiuddin Nasri, 20, ini impiannya untuk bergelar artis rakaman kesampaian apabila dilamar pengurusan Mask TeamMusic tahun ini.

“Pihak Mask TeamMusic melamar menjadi artis mereka selepas melihat saya menyanyi di aplikasi Smule.

“Bakat nyanyian saya juga dinilai dengan menyampaikan 25 lagu berbeza sebelum diterima menjadi artis di bawah pengurusan mereka.

“Demi mengejar impian menjadi penyanyi, saya juga terpaksa berjauhan dengan keluarga di Batu Pahat, Johor dan berpindah ke Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan kerja,” katanya.

Buat permulaan, Naqi mempertaruhkan single sulung berjudul Semua Itu Dusta ciptaan January dan Bintang.

“Lagu ini mudah difahami liriknya kerana menceritakan mengenai hati yang dilukai dalam percintaan. Jalan cerita dalam lagu ini juga boleh dikaitkan dengan pengalaman cinta ramai orang.

“Saya dapat pengalaman baru apabila merakamkan single ini. Rupa-rupanya ia tidak semudah yang dibayangkan. Saya juga perlu memahami lirik untuk menyampaikan lagu ini dengan baik,” katanya.

Mengulas mengenai lagu Semua Itu Dusta, Naqi berkata, ia sudah dilancarkan menerusi aplikasi digital dan boleh dimuat turun secara digital melalui Itunes, Spotify dan JOOX.

“Setakat ini, lagu ini menerima maklum balas positif daripada peminat. Saya juga merancang mengikuti kelas vokal untuk membaiki prestasi sedia ada.

“Saya mengagumi vokal penyanyi legenda Awie Wings dan Amy Search serta menjadikan mereka inspirasi dalam bidang muzik. Pada masa sama, saya juga mahu bekerjasama dengan komposer muda Ippo Hafiz mungkin untuk pembikinan single kedua dan seterusnya nanti,” katanya.

Mengimbas pengalamannya, Naqi pernah menyertai beberapa pertandingan nyanyian seperti International Robotic and English Olympiac: Singing Competition dan Bintang Muzik Johor 2017 serta Festival Konvokesyen UTHM yang berjaya menjadi juara dalam kedua-dua pertandingan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 10:56 AM