Z Lokman (kiri) Mokhtaruddin pada pra tonton filem Mahaguru di Finas, Hulu Kelang. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Ridzuan Abdul Rahman


BIARPUN teaser filem Mahaguru dimuat naik di YouTube sejak 11 Oktober lalu menerima kecaman daripada netizen mempertikaikan kualitinya, pengarah Z Lokman tetap mempertahankan filem ini apabila mengatakan ia sebuah filem yang bagus.

Z Lokman atau nama sebenarnya Zulfakar Lokman, 73, berkata, Mahaguru memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan oleh pemilik pawagam dan akan ditayangkan kepada peminat bermula 15 November nanti.

"Sasaran kami adalah generasi sekarang menonton filem ini agar mendatangkan semangat kepada mereka mengenali silat.

"Sudah tentu semua tahu bajet filem arahan saya tak setinggi mana tapi kita bersyukur dapat menghasilkan filem sebegini," katanya pada pratonton filem Mahaguru di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, hari ini.

Video berdurasi 43 saat di YouTube itu menampilkan beberapa babak menarik daripada filem ini.

Turut ditunjukkan ialah elemen imej janaan komputer (CGI) dalam beberapa babak yang menjadi bahan sendaan netizen.

Mereka turut mempertikaikan kualiti video yang seolah diambil menggunakan telefon bimbit. Ada juga mengaitkannya seakan sama filem era 1980-an.

"Saya sebenarnya dah letih, dah lebih 40 tahun mengarah dan soalan-soalan yang diajukan tetap sama.

"Terserah kepada penonton atau mana-mana pihak yang beranggapan filem ini ketinggalan zaman. Ia satu kemajuan kerana saya nak tunjukkan filem pendekar yang dah lama dilupakan.

"Saya tak kisah kerana dengan filem-filem beginilah saya hidup selama ini. Sayalah pengarah yang paling banyak mengarah filem. Yang tertua dan masih berdiri untuk terus mengarah," katanya yang mula mengarah sejak tahun 1977.

Dalam pada itu, Z Lokman turut menempelak media yang tidak pernah memuji hasil karyanya selama ini.

"Tak pernah saya dipuji dan semuanya nak 'membantai' Z Lokman. Siapa pengarah Melayu yang tertindas selama ini kalau bukan Z Lokman?

"Hormatlah saya sebagai orang tua. Kalau dah benci, lupakan saya. Tapi saya akan terus berdiri di sini," katanya yang turut mengarahkan enam filem Tagalog di Filipina.

Z Lokman berkata, meskipun teknologi sekarang makin maju dan serba canggih, dia masih lagi menghasilkan cerita genre persilatan dan persembahan cara sebegini agar menampakkan filem ini realistik.

"Saya tak boleh nak melebih-lebihkan aksi seperti terbang, tendang berpusing dan sebagainya kerana perlu realistik.

"Bukan tak boleh buat, tapi saya nak tunjukkan inilah silat Melayu yang sebenarnya. Ini adalah filem patriotik dan mempertahankan adat budaya kita," katanya.

Z Lokman menjelaskan, filem ini dinamakan Mahaguru kerana masyarakat sudah lama tak melihat filem genre persilatan diterbitkan.

"Penggambaran dibuat kira-kira lima bulan lalu dan hanya ambil masa selama dua minggu. Ia filem era sekarang kerana ada silat, telefon dan pelbagai elemen lagi," katanya.

Filem terbitan Bismi Adira Production ini menampilkan barisan pelakon Mokhtaruddin, Bismi Adira, Alif AF6, Aman Shah, TS Jeffrey, Salman Al-Farisi, Harya Zaleha dan Eliza Mustafa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 6:09 PM