JOHAN (kiri) bersama Zamani. FOTO arkib NSTP
JOHAN (kiri) bersama Zamani. FOTO arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


“SAYA menyaksikan nyanyian dia (Zamani) dari katil hospital dan berasa risau dengan persembahan pertamanya.

“Ketika itu saya merasakan ada sesuatu yang tak kena dan mungkin dia kurang dengar monitor menyebabkan dia gagal menyanyi dengan baik,” kata Johan Aziz mengulas persembahan Zamani menerusi lagu Dekat Padamu dalam konsert separuh akhir Gegar Vaganza, semalam.

Johan, 52, yang baru selesai menjalani pembedahan akibat kanser usus di hospital swasta pada 10 November lalu, adalah individu yang bertanggungjawab menguruskan kumpulan Slam sejak 26 tahun lalu dan karier solo Zamani sehingga sekarang.

Johan mengakui berasa lega kerana Zamani tampil dengan persembahan terbaik menerusi lagu Dimatamu sehingga berjaya mendapat markah yang tinggi daripada barisan juri.

“Mungkin dia sudah beritahu produksi mengenai masalahnya dan akhirnya Zamani berjaya memberikan persembahan yang memuaskan hati semua pihak.

“Saya juga gembira kerana suaranya juga sudah kembali pulih seperti sediakala. Sememangnya dia jarang mengecewakan peminat.

“Saya berharap dia beraksi dengan baik di pentas akhir Gegar Vaganza dan kemungkinan besar untuk jadi juara memang ada,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Johan, Zamani pernah melawatnya ketika dimasukkan ke Hospital Ampang sebelum ini.

“Untuk kali ini dia belum datang lagi. Saya faham dia sibuk dengan GV dan biarlah dia selesaikan semuanya.

“Saya pun berharap selepas berakhir GV, semua isu yang berbangkit akan dapat diselesaikan dengan baik.

“Semoga tiada apa-apa perbalahan yang terjadi lagi supaya Zamani dapat teruskan kariernya kerana dia berbakat besar,” katanya.

Ditanya sekiranya dia sudi bersemuka dengan Aalan Ahmad, individu yang bertanggungjawab menguruskan penyertaan Zamani dalam GV, Johan sedia berbuat demikian.

“Saya tiada masalah berjumpa untuk mencari jalan penyelesaian. Buat masa ini saya masih lagi bekerjasama dengan Zamani.

“Kenyataan yang dikeluarkan mengatakan saya masih pengurusnya keluar dari hatinya dan bukan atas paksaan.

“Saya pun mengaku selesa bekerja dengannya. Dia berbakat besar dan pandai menjaga hati semua orang termasuk peminat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 10:27 PM