Sudirman Mohd Tahir


“ALHAMDULILLAH, lepas juga niat dan hajat kami untuk meraikan hari jadi anak Sabtu lalu bersama anak-anak yatim. Semoga apa yang dibuat ini diberkati Allah SWT,” kata pelakon dan penyanyi Diana Rafar selepas menghadiahkan kek bentuk Lion King berharga RM4800 kepada Rumah Anak Yatim Al Firdaus Denai Alam, semalam.

Diana, 36, atau nama sebenarnya Adiana Rafar berkata, hatinya tidak tenang selagi kek itu tidak dipotong dan dijamah.

Malah, Diana juga mengakui menerima banyak komen dan mesej daripada peminat yang mahu melihat momen kek itu dipotong oleh anaknya, Kashfi Haiqal, 8.

“Ketika sambutan hari jadi, Kashfi memang tak nak potong. Begitu juga ketika Zizan Razak datang, dia kata sayang kalau potong. Jadi, saya dan Abang Zamarul pun ambil keputusan nak hadiahkan kepada rumah anak yatim.

“Lagi pula, sambutan hari jadi sebelum ini kami turut raikan mereka. Cuma, kali ini saja mereka tak dapat hadir sebab ada aktiviti lain. Apabila kami sampai ke rumah mereka, suasana bertukar sebak kerana mereka sudah bersedia menunggu kedatangan kami.

“Saya dan suami tersentuh dengan sambutan diberikan. Raut wajah yang penuh kegembiraan itu buatkan kami menangis. Tidak menjangka reaksi mereka macam tu sekali hingga ada yang menangis,” katanya kepada Harian Metro.

Diana yang berkongsi video suasana di rumah anak yatim itu menafikan ia bertujuan untuk menunjuk sebaliknya ingin berkongsi dengan peminat yang bertanyakan ‘pengakhiran’ kek itu.

“Saya dan suami sudah niat awal lagi untuk berkongsi rezeki dengan mereka. Sekurang-kurangnya kek itu dimakan dan tidak berlaku pembaziran.

“Lebih menggembirakan kami apabila apa yang dibuat itu dihargai. Saya berasakan ia satu nikmat besar. Dalam masa sama, saya ingin peminat tahu ada ramai lagi kanak-kanak yang tidak dapat merasa seperti mana anak kita dapat.

“Cantik sangat aturan Allah berikan untuk kami. Dalam pada Kashfi dan Zizan tak nak potong, rupa-rupanya rezeki ini jadi milik anak-anak yatim itu,” katanya.

Lebih membuatkan Diana dan suami terharu apabila anak-anak yatim itu menghadiahkan persembahan lagu nasyid sempena hari jadi anak mereka.

Sabtu lalu, Diana dan suaminya yang juga pelakon, Zamarul Hisham mengadakan sambutan hari jadi buat dua anak mereka iaitu Kashfi dan Kayla Reysha, setahun.

Pasangan itu menyediakan kek berbentuk Lion King berharga RM4800 dan kek Little Pony RM1200 untuk anak perempuan.

Berita berkaitan

Belanja RM6,000 kek dua anak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 11:44 AM
DIANA Rafar dan suaminya menghadiahkan kek hari jadi anaknya berbentuk Lion King kepada anak yatim. FOTO Ihsan Diana Rafar