Delimawati mahu hiburkan orang kampung. FOTO HM Digital
Ardini Sophia Sina


PELAKON, Delimawati Ismail atau lebih dikenali dengan watak Kak Limah mengakui dia gementar untuk menjalani pementasan teater muzikal yang bakal diadakan pada bulan depan.

Katanya, sepanjang 30 tahun dalam industri seni, ini adalah kali pertama dia terbabit dengan teater dan berharap semuanya akan berjalan lancar sepanjang pementasan Hantu Kak Limah.

"Saya langsung tidak pernah terbabit dalam mana-mana teater apatah apatah lagi teater muzikal. Pun begitu, saya terima tawaran itu kerana ia adalah perkara baharu dalam kerjaya.

"Tambahan pula, ia dipentaskan di Taman Tema MAPS di Perak. Sudah pastilah saya ingin menghiburkan 'orang kampung' sendiri dan pengunjung di sana.

"Sama ada saya boleh berlakon dengan baik dalam teater ini atau sebaliknya, saya serahkan kepada penonton. Biar mereka yang menilainya," kata pelakon itu.

Ditanyakan mengenai cabaran dan persiapan pementasan berkenaan, kata Delimawati, dia risaukan kesihatannya kurang memuaskan sepanjang tempoh teater berkenaan dipersembahkan.

"Masa muda saya pernah kemalangan. Apabila usia semakin meningkat maka kesan itu juga sangat terasa. Saya rasa sakit pada bahagian pinggang hingga ke betis. Adakalanya saya tidak dapat berdiri lama.

"Saya rasa kalau keadaan berterusan mungkin saya perlu makan ubat penahan sakit," katanya.

Teater muzikal Hantu Kak Limah dipersembahkan pada 24 hingga 31 Disember di MAPS, Ipoh Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 8:34 PM