AZREL dan Ruhainies. FOTO Arkib NSTP
Ramlah Zainal


“MUNGKIN saya tidak kaya seperti bakal suaminya dan saya tidak kecewa, cuma sedikit terkilan apabila hubungan kami berakhir.”

Begitu kata pelakon Azrel Ismail, 33, mengenai pelakon Ruhainies yang dikatakan sudah dilamar kekasihnya dikenali sebagai Mr E ketika bercuti di Itali, baru-baru ini.

Azrel berkata, dia tetap mendoakan yang baik-baik untuk Ruhainies dan bakal suaminya yang juga ahli perniagaan itu.

Menurutnya, dia mengetahui berita Ruhainies dilamar kekasihnya itu menerusi berita yang dilaporkan media.

“Saya juga ada menghantar ucapan tahniah di Instagram miliknya, baru-baru ini. Saya memang selesa ketika berkawan rapat dengannya sejak kami berlakon sama dalam drama Menantu Ting Tong, dua tahun lalu.

“Namun, saya melihat ada yang tidak kena dalam hubungan kami dan terpaksa akur kami tiada jodoh,” katanya kepada Harian Metro.

Azrel berkata, dia juga tiada masalah untuk berlakon dengan Ruhainies andai dipertemukan dalam mana-mana drama selepas ini.

“Kami juga masih berhubung sebagai kawan di Instagram dan saya juga sudah meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Saya tiada masa untuk bersedih kerana lebih baik saya fikirkan karier yang masih jauh lagi,” katanya.

Ditanya mengenai pengganti pula, kata Azrel, dia masih belum bertemu wanita idaman.

“Terus terang, ramai wanita yang cuba mendekati dan mahu berkawan tetapi saya masih mencari calon yang tepat,” katanya.

Terdahulu, Ruhainies, 26, atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas mendedahkan dilamar Mr E dengan berlatarkan Plaza Duomo Milan di Itali sempena genap setahun perkenalan mereka.

Selain itu, ayat ‘will you be mine' yang diungkapkan jejaka itu membuatkan dirinya terharu dan sangat bahagia.

Mr E yang kini menetap di London turut membuat kejutan dengan menghadiahkan sebentuk cincin yang ditempah khas.

Walaupun bercinta jarak jauh, Mr E juga setia dan serius dalam hubungan dengan Ruhainies sekali gus nampak misi untuk menyuntingnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 2:05 PM