X
MARIAH Carey
MARIAH Carey
Michelle Gun

Selepas 17 tahun, album Glitter yang menghimpun lagu runut bunyi filem muzikal berjudul sama mengungguli carta Top 10 iTunes, baru-baru ini.

Pencapaian luar jangkaan itu mengejutkan penyanyi Mariah Carey selepas filem yang ditayangkan pada 2001 berkenaan gagal meraih kutipan memberangsangkan.

Semuanya atas usaha penyokong setia pemenang Anugerah Grammy itu membantu menaikkan semula album terbabit menerusi tanda pagar #JusticeForGlitter di media sosial.

Ketika menghadiri program bual bicara The Tonight Show Starring Jimmy Fallon, Jumaat lalu, Mariah mendedahkan pergerakan #JusticeForGlitter sebenarnya ditujukan peminat kepada dirinya.

“Ini kerana saya tidak pernah menyanyikan mana-mana lagu daripada album itu dalam persembahan. Lagipun, ia lagu runut bunyi.

“Selepas sekian lama, siapa sangka album berkenaan berjaya menduduki tempat pertama di carta,” katanya.

Mariah turut menggambarkan sambutan hambar terhadap album Glitter hampir menghancurkan hidupnya.

“Album itu bagus dan akhirnya berjaya dengan bantuan peminat. Pencapaian itu tiada kena-mengena dengan saya,” ujarnya.

Pada masa sama, Mariah baru melancarkan album ke-15 berjudul Caution selepas empat tahun tidak tampil dengan karya baru.

Pada program itu, pengacara Jimmy Fallon turut memuji Mariah sebagai Ratu Krismas berikutan populariti lagu All I Want For Christmas Is You di seluruh dunia setiap tahun.

Menceritakan pembikinan All I Want For Christmas Is You pada 1994, Carey berkata pada waktu itu dia belum bersedia mengeluarkan album Krismas.

“Syarikat rakaman mencadangkan kepada saya untuk menghasilkan album Krismas.

“Ketika itu, saya rasa masih awal untuk mengeluarkan album perayaan,” katanya.

Namun begitu, ibu kepada sepasang anak kembar itu menyatakan persetujuan dan mempertaruhkan lagu All I Want For Christmas Is You.

“Saya setuju dan mahu melihat bagaimana sambutan orang ramai terhadapnya. Kemudian, saya duduk dan menulis All I Want For Christmas Is You.

“Bagi saya, paling penting adalah perasaan terhadap lagu itu,” katanya.

Sehingga kini, All I Want For Christmas Is You terus kekal sebagai lagu antarabangsa paling berjaya buat Mariah dan turut diangkat sebagai single terbaik sepanjang zaman.

Pada 2017, bayaran royalti untuk single itu sebanyak RM251.27 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 2:01 PM