SHAHEIZY Sam dan Zizan Razak yang juga pelakon utama Polis Evo 2. Foto NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN

Empat tahun lalu, filem Polis Evo berjaya mencatat fenomena luar biasa apabila meraih kutipan filem tertinggi 2015 iaitu sebanyak RM18 juta.

Siapa sangka, filem yang banyak diperkatakan segenap lapisan masyarakat itu berjaya menerbitkan rasa keterujaan penerbit, Astro Shaw untuk menghasilkan kesinambungan kisah dua anggota polis ini.

Selain gandingan mantap pelakon Shaheizy Sam dan Zizan Razak dalam sekuel Polis Evo 2, kehadiran pelakon Indonesia, Raline Shah pastinya menambah warna dalam filem yang akan merungkai kisah jenayah berprofil tinggi.

Menerusi jenayah besar yang pernah ditumpaskan Inspektor Khai dan Inspektor Sani, kali ini mereka mengetuai misi keselamatan negara apabila sebuah pulau ditawan ekstremis ajaran sesat.

Cabaran besar ini dilaksanakan dengan teliti apabila membabitkan 200 tebusan penduduk kepulauan itu. Menerusi sekuel ini, dapat dilihat bagaimana anggota penguat kuasa menjalankan tanggungjawab dalam mempertahankan kedaulatan negara tanpa mengambil kira risiko terhadap diri.

ADEGAN cemas membabitkan Shaheizy sebagai Inspektor Khai.

Kembali menterjemahkan karakter Inspektor Sani, kredibiliti pelakon Zizan Razak sebagai pelakon ‘serius’ semakin terserlah apabila banyak memaparkan sisi baru dalam dirinya sebagai pelakon.

Kata Zizan, dia meletakkan sepenuh komitmen dan tanggungjawab tertinggi untuk sekuel ini. Zizan amat berbangga dan berpuas hati dengan hasil akhir filem yang bakal menemui penonton esok.

“Dalam Polis Evo yang pertama, saya beri komitmen 120 peratus dan untuk yang kedua ini saya beri 200 peratus.

“Sebenarnya, saya agak terkejut dengan hasil akhir filem ini kerana ia sangat hebat dan luar jangkaan saya.

“Kiranya, ini bukan saja tanda aras buat Astro Shaw, ia untuk Malaysia yang sekarang ada banyak filem yang sangat berjaya di pawagam. Mungkin juga ia memberi satu dimensi baharu buat pembikin filem Asia.

“Saya pergi Indonesia pun, ramai yang bertanyakan Polis Evo. Kita sekarang berada pada trek yang betul dan Polis Evo 2 akan meneruskan legasi kejayaan filem tempatan tahun ini,” katanya.

Membawakan babak emosi atau menangis barangkali bukan sesuatu yang mudah, namun Zizan berjaya menzahirkannya dengan cemerlang.

Menurut Zizan, jika dulu air mata yang keluar ketika menjalani penggambaran ada yang terpaksa dibuat-buat tetapi menerusi Polis Evo 2 ia berlaku dengan penuh rasa ikhlas.

ANTARA babak Raline bersama Zizan.

“Berlakon babak emosi lebih memenatkan daripada babak fizikal (aksi). Untuk menjayakan babak terbabit, saya sampai demam dan migrain kerana ia bukan kecenderungan saya.

“Bagaimanapun, terima kasih kepada pengarah kerana tahu cara terbaik untuk membuatkan air mata saya keluar secara semula jadi.

“Sebagai seorang pelakon yang dikenali dengan sisi jenaka, diakui sebelum ini saya menggunakan ubat titis mata untuk babak menangis, namun tidak dalam filem ini.

“Kira-kira sejam lebih saya menangis untuk menjayakan babak emosi dalam Polis Evo 2,” katanya.

HIDUPKAN KARAKTER INSPEKTOR KHAI

Bagi Shaheizy Sam yang terbukti handal dalam dunia seni lakon, sekali lagi dia berjaya menghidupkan karakter Inspektor Khai dengan baik dan penuh emosi.

Susah untuk melihat kelemahan dalam lakonannya kerana setiap babak dibawakan dengan begitu kemas dan penuh rasa tanggungjawab.

“Walaupun Polis Evo berjaya mencatat kutipan tertinggi sebelum ini, masih ada kerisauan untuk memastikan penonton puas dan memuji Polis Evo 2.

“Secara peribadi saya berasakan Polis Evo 2 amat berbaloi dan kesinambungan yang lebih mencabar serta dramatik,” katanya.

Pelakon Raline Shah pula mengakui selesa berlakon di samping bintang utama Polis Evo 2 kerana banyak membantu dan membuatkan dia lebih selesa sepanjang penggambaran berlangsung.

“Mereka berdua macam abang saya dan banyak membantu sepanjang penggambaran.

“Saya rasa sebalik tabir filem ini paling istimewa kerana banyak suka duka serta pahit dan manis yang kami lalui bersama,” katanya yang mengakui produksi Polis Evo 2 adalah yang terbaik sepanjang dia bergelar pelakon.

Filem terbitan Astro Shaw Sdn Bhd dan SCM Tbk turut dibintangi ramai pelakon handalan termasuk Erra Fazira, Hasnul Rahmat, Hairul Azreen, Soffi Jikan dan Syafie Naswip.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 7:01 AM