JADA Pinkett.
Michelle Gun

Bintang siri Gotham, Jada Pinkett Smith, 47, mendedahkan terpaksa menikam bekas kekasih dengan pisau berikutan lelaki itu bertindak agresif terhadapnya.

Pelakon dan juga isteri Will Smith berkongsi pengalaman cemas itu dalam episod terbaharu program Red Table Talk yang menyentuh isu penderaan.

Ibu kepada dua anak itu berkata, insiden terbabit berlaku di dalam kereta selepas mengunjungi sebuah restoran bersama bekas kekasihnya.

“Dalam perjalanan, dia menjadi agresif. Mujur saya dapat keluar dari kereta dan berlari masuk ke dalam rumah. Saya terpaksa membuka kasut tinggi dan pakai baju ‘sweater’.

“Saya masih ingat mengambil sebilah pisau besar lama di dapur sebelum menyembunyikan diri dalam bilik tidur anak lelakinya. Sukar saya melupakan kejadian itu,” katanya.

Cerita Jada lagi, lelaki itu cuba mendapatkannya dengan memasuki rumah melalui pintu belakang.

“Saya dengar dia masuk ke dalam rumah. Kemudian saya keluar dari bilik anaknya dan minta dia menjauhi saya.

“Dia memberitahu tidak mungkin akan mencederakan saya dan ayat itu adalah dialog yang kerap digunakan dalam filem,” katanya.

Bagaimanapun, Jada tidak mendedahkan kesudahan kejadian terbabit dan cuma memberitahu memutuskan hubungan dengan lelaki itu.

“Pengarah Spike Lee menyelamatkan saya daripada hubungan itu.

Dia menghubungi saya untuk membintangi filem Girl 6.

“Saya menggunakan nama Spike untuk melepaskan diri. Selepas memasuki kapal terbang, lelaki itu sudah tidak bertemu dengan saya lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 6:02 AM