PENERBIT Shamsul Ambia pada pelancaran Program Masakan pertama di Malaysia dengan orang buta sebenar memasak bertajuk 'Dine In The Dark Blind Chef' - FOTO MAHZIR MAT ISA
Michelle Gun


BUAT pertama kali di Malaysia, program memasak di TV mengetengahkan orang cacat penglihatan yang menyediakan hidangan bakal diterbitkan syarikat produksi Ambiaq Productions.

Penerbitnya, Shamsul Ambia berkata, program 13 episod itu menyaksikan Fadzillah Sahmad, 44, menunjukkan kemahiran memasak pelbagai hidangan dan pencuci mulut.

“Idea menghasilkan program itu datang ketika menjadi sukarelawan Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia. Pada mulanya, saya mahu konsep program itu seperti MasterChef yang mana ada beberapa peserta orang cacat penglihatan. Namun disebabkan kos tinggi, saya tukar kepada program masakan dan memilih Fadzillah sebagai cef,” katanya.

Shamsul berkata, istimewanya program itu ialah selebriti dan cef jemputan setiap episod akan menikmati masakan Fadzillah dalam suasana gelap.

“Program ini terdiri dari tiga segmen iaitu Fadzillah membeli bahan-bahan, bagaimana dia memasak dan akhir sekali seorang cef serta selebriti jemputan mencuba hidangan dalam gelap,” katanya.


CEF Fadzillah Sahmad yang cacat penglihatan bakal tampil dengan program 'Dine In The Dark Blind Chef' - FOTO MAHZIR MAT ISA

Menurut Shamsul, penggambaran akan bermula Mac ini dan dijangka bersiaran sekitar Mei tahun depan.

Fadzillah yang berasal dari Kuching, Sarawak mula menjadi ‘tukang rasa’ masakan ibunya sewaktu keluarganya menjadi pengusaha kantin di Sekolah Menengah Muara Tuang.

Ketika itu, bapa kepada empat anak ini belum mengalami masalah penglihatan.

Pada 1998, dia berpindah ke ibu kota untuk belajar mengurut di Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia selepas kedua matanya cacat penglihatan akibat demam panas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 4:50 PM