IRFAN Haris. FOTO Ihsan Irfan Haris
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Irfan Haris menjelaskan dia tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebaliknya mengikuti peperiksaan Cambridge IGCSE di Sekolah Antarabangsa Tenby Setia Eco Gardens, Johor Bahru, bulan lalu.

Irfan, 17, atau nama sebenarnya Irfan Haris Othman berkata, persoalan itu ditimbulkan peminat selepas dia pergi bercuti di Australia, baru-baru ini.

“Peperiksaan saya berlangsung pada 22 Oktober hingga 13 November lalu. Ia juga peperiksaan besar sama macam SPM. Saya ambil 10 mata pelajaran. Cuma, kurikulum pembelajaran dari United Kingdom.

“Ketika pergi bercuti, ramai tanya kenapa saya tak ambil SPM. Sedangkan sebelum ini saya pernah cakap yang mana saya tidak bersekolah di sekolah kerajaan. Apabila masih ada yang keliru, saya pun tak tahu nak jelaskan macam mana lagi.

“Diharap dengan penjelasan ini, mereka faham dan tidak timbul lagi persepsi negatif,” katanya kepada Harian Metro.

Irfan yang popular menerusi lagu Redha berkata, sepanjang sebulan itu, dia menyah-aktifkan semua akaun media sosial.

Malah, Irfan mengakui lega dan tinggal menunggu keputusan peperiksaan yang dijangka diumumkan awal tahun depan.

“Kalau perasan, sepanjang bulan lalu saya ‘hilang’ daripada sosial media. Saya tidak sentuh langsung kerana ingin memberi fokus kepada peperiksaan.

“Alhamdulillah, ada senang dan susah. Saya sudah buat yang terbaik dan berserah kepada Allah SWT. Saya sudah merancang untuk menyambung pelajaran di peringkat Diploma Seni Persembahan di kolej swasta di Shah Alam pada November tahun depan.

“Namun, sebelum itu saya mahu fokus kepada kerjaya nyanyian dulu. Perkara ini saya sudah bincang bersama ibu bapa dan mereka bersetuju,” katanya.

Bagi melancarkan aktiviti seni, Irfan mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur dan menetap bersama kakaknya yang juga penyanyi, Amira Othman.

“Kali terakhir saya muncul dengan single Hilang pada Februari lalu. Selepas itu, saya fokus kepada persekolahan di Johor Bahru.

“Insya-Allah, tahun depan saya dan kakak akan muncul dengan single duet berentak balada. Lagu ini adalah ciptaan saya bersama abang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 11:58 AM