ELLA. FOTO Arkib NSTP
ELLA. FOTO Arkib NSTP
Ramlah Zainal


“SAYA tidak kejar pangkat atau gelaran Datuk sepanjang 32 tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian kerana percaya pada rezeki dari Allah.

“Kalau rezeki itu milik kita tiada siapa pun akan dapat menghalangnya kerana rezeki tidak pernah salah alamat,” kata Ratu Rock terkenal Ella ketika mengulas gelaran Datuk yang diterima golongan artis ketika ini.

Namun, kata pemilik nama sebenar, Nor Zila Aminuddin, 52, dia tidak menolak jika ada pihak tertentu yang mahu menganugerahkannya gelaran Datuk selepas ini.

“Saya tidak pernah terfikir pun mengenai gelaran Datuk itu sepanjang berkecimpung dalam bidang seni tanah air sampai sekarang.

“Sebenarnya, bukan senang untuk golongan anak seni mendapat gelaran Datuk itu kerana sebagai mana yang kita tahu ada tanggungjawab besar yang perlu dipikul selepas itu,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ella lagi, pengiktirafan yang paling bermakna dalam karier nyanyiannya ialah sokongan padu dari peminat setianya sejak dulu.

“Gelaran sebagai Ratu Rock tanah air juga sudah cukup buat saya berasa bangga dan dihargai peminat dalam bidang muzik tanah air.

“Selain pelbagai anugerah yang diterima dalam bidang nyanyian, gelaran Ratu Rock juga masih kekal sehingga kini,

“Sebagai penghibur, misi saya untuk terus menghasilkan karya yang bagus, berkualiti dan malar segar,” katanya.

Ella pernah menerima pingat Darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) pada istiadat penganugerahan pingat dan darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan ke-79 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan, pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 5:50 PM