Amirul Haswendy Ashari.


“KEJADIAN berlaku sangat pantas. Saya sedang memandu di laluan tengah dan tiba-tiba kereta saya dilanggar," kata Nina Iskandar, 27, susulan kemalangan yang menimpanya, kelmarin.

Katanya, kejadian berlaku di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam berhampiran Petaling Jaya kira-kira 3 pagi selepas pulang dari makan malam dan set drama terbaru berjudul Setelah Cinta Itu Pergi.

Nina ketika dihubungi Harian Metro melalui Whatsapp berkata, selepas dilanggar kereta pertama yang kemudian memecut laju meninggalkan tempat kejadian, dia panik dan berhentikan kereta.

"Ketika itu beg udara sudah terkeluar, saya hidupkan lampu kecemasan dan duduk diam dalam kereta dengan harapan ada yang datang membantu.

"Tiba-tiba kereta saya dilanggar sekali lagi dari belakang yang menyebabkan kereta berpusing dan melanggar pembahagi jalan," kata Nina.

Bagaimana pun, orang awam dan pemandu kereta kedua yang melanggar keretanya berhenti untuk memberi bantuan.

Akibat dua kali pelanggaran dalam masa singkat, Nina cedera di bibir dan retak tulang belakang.

"Saya dibawa ke hospital berhampiran dan menjalani rawatan kecemasan, manakala pembantu saya membuat laporan polis di Petaling Jaya.

"Ikutkan saya perlu ditahan di wad selepas menjalani pemeriksaan Xray, jahit luka dan MRI, namun saya menolak kerana tidak suka duduk dalam wad," katanya.

Nina bersyukur ibunya yang kebetulan baru sampai dari Brunei akan membawanya pulang untuk menjalani proses penyembuhan dan rawatan di sana.

Katanya, pada masa ini dia tidak dapat bercakap dan bergerak dengan selesa akibat kecederaan di alami.

Harian Metro, semalam melaporkan pelakon drama Andainya Takdir itu ditimpa kemalangan dipercayai akibat langgar lari.

Peristiwa itu didedahkan rakan pelakon, Amyza Aznan yang berkongsi foto kereta yang remuk dipercayai milik Nina di laman sosial milik Amyza, lewat tengah malam.

Berita berkaitan

Nina Iskandar cedera, kereta 'total lost'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 2:46 PM