STATUS yang dimuat naik Bazli di akaun Instagramnya.
STATUS yang dimuat naik Bazli di akaun Instagramnya.
Michelle Gun


BEKAS anggota kumpulan UNIC Fitri Haris akan mengeluarkan kenyataan berkaitan kemelut membabitkan anggota kumpulan nasyid itu dalam masa terdekat.

“Saya masih dalam keadaan terkejut. Buat masa ini, saya tidak mahu komen apa-apa berhubung isu berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fitri, 33, berkata dia perlu mendapatkan nasihat daripada pihak pengurusan terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan kepada umum.

“Sekarang, saya berada di tempat yang pengurus sendiri pun tidak tahu nak buat macam mana?

“Saya juga mengelak daripada membuka media sosial kerana tidak mahu membaca komen netizen,” katanya.

Sebelum ini, Fitri berkongsi cerita mengenai persembahannya yang bakal berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 9 Disember ini di akaun Instagram miliknya.

Dia turut menyenaraikan beberapa lagu UNIC yang akan dinyanyikan pada malam persembahan.

Bagaimanapun, status itu menimbulkan rasa kurang senang anggota UNIC iaitu Bazli, Fahrul dan Najdi.

Bazli menerusi status ditulis di Instagram menasihati juara Gema Gegar Vaganza 2018 itu supaya membina karier nyanyian sendiri tanpa menggunakan nama UNIC.

“Di Malaysia ni ada dua UNIC? Saat UNIC masih ada, malah aktif dan tengah sibuk persedian konsert 7 Disember ini boleh pula ada UNIC 2 yang buat konsert nyanyi lagu yang sama.

“Macam kelakar pun ada. Bina karaktor sendiri, bina identiti sendiri, kekuatan dan pengikut sendiri. Yakin dengan kemampuan diri sendiri boleh pergi lebih jauh tanpa dibayangi UNIC,” tulisnya.

Menurut Bazli, dia terpaksa membuat teguran secara terbuka kerana sudah berbincang dengan Fitri mengenai perkara itu, dua bulan lalu.

“Dunia kreatif seni ini sangat luas tanpa perlu guna elemen ‘throwback’ dan ulang kisah-kisah sedih UNIC,” katanya.

Katanya, teguran terbabit bukan bertujuan mencari gaduh mahupun menyimpan perasaan dengki terhadap Fitri.

Berita berkaitan

Ini nasihat abang-abang Hijjaz

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 8:08 PM