Z Lokman tidak berkecil hati. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Z Lokman tidak berkecil hati. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Amirul Haswendy Ashari


PENGARAH veteran, Z Lokman, 73, tidak berkecil hati jika pelakon filem terbaru arahannya, Awang Gerudi tidak mahu bekerjasama untuk mempromosikan filem itu kerana sudah melalui pengalaman sama sebelum ini.

Difahamkan, dua pelakonnya dikatakan tidak yakin dengan sambutan terhadap filem itu sekali gus enggan mempromosikannya.

Z Lokman ketika dihubungi berkata, jika mereka ada jiwa filem, mereka akan mempromosikan filem lakonan mereka walau apa pun hasilnya.

"Kalau tak yakin, kenapa nak berlakon bawah arahan saya, boleh saja mereka tolak. Saya tidak kecewa atau berkecil hati sebab pernah lalui sebelum ini kecualilah ini pertama kali berlaku.

"Ketika mengarah filem No Problem pada 2001, pelakon utama Maya Karin juga bersikap sama tapi saya tidak kisah," katanya sudah reda dengan sikap pelakon sedemikian.

Z Lokman yang baru saja muncul dengan filem Mahaguru bulan lalu berkata, dia tidak terkesan dengan tindakan mereka sebaliknya mendoakan supaya mereka akan berjaya dalam filem-filem lain selepas ini.

"Pelakon muda hari ini tak ramai tahu kebanyakan pelakon hebat dan popular seperti Datuk Rosyam Nor, Faizal Hussein, Jasmin Hamid dan ramai lagi pernah bekerja di bawah arahan saya sebelum mereka berada di tahap sekarang," katanya.

Z Lokman dikenali sebagai pengarah filem komedi era 80-an dan 90-an seperti Awang Spanar, Bujang Selamat, Cikgu Romantik, Minah Manja dan Cikgu Selayang.

Awang Gerudi yang juga filem ke-35 arahan Z. Lokman bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 27 Disember ini.

Filem genre komedi pengembaraan ini dibintangi Zoey Rahman, Ika Nabella, Aprena Manrose, Abon, Mustapha Kamal dan Zarina Zainuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 6:41 PM