Bazli berlapang dada bersama anggota UNIC berikutan isu dengan Fitri. FOTO HM Digital
Bazli berlapang dada bersama anggota UNIC berikutan isu dengan Fitri. FOTO HM Digital
Amirul Haswendy Ashari


KUMPULAN UNIC tidak pasti isu melanda antara mereka dengan bekas ahli UNIC, Fitri Haris memberi kesan atau sebaliknya kepada penjualan tiket konsert Ainul Mardiah berlangsung Jumaat ini.

Ketua kumpulan, Bazli Hazwan berkata, mereka kini berlapang dada dengan isu membabitkan mereka dengan Fitri Haris, minggu lalu.

"Saya tidak pasti isu antara kami memberi kesan kepada peminat dan konsert Ainul Mardiah atau pun tidak.

"Tapi kalau beri kesan negatif, perjuangan akan diteruskan dan kalau positif pun kami bersyukur," kata Bazli.

Apa yang pasti bagi UNIC adalah konsert di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim itu kelak adalah perkara positif kerana sebahagian keuntungan disumbangkan kepada anak-anak kanser, autism dan persatuan kebajikan UPSI.

Bazli berkata selepas meluahkan perasaan dan memberi kenyataan di laman sosial rasmi mereka tempoh hari, dia sudah pun berlapang dada.

"Biasalah tu salah faham antara ahli lama dan masih bersama UNIC. Sejarah tidak boleh ditutup dan perjuangan akan diteruskan.

"Harapan kami, peminat janganlah membandingkan kami dan biarlah ia harmoni antara kami," katanya.

Minggu lalu, anggota UNIC, Bazli, Fakhrul dan Najdi dilaporkan meluahkan pendapat dan ketidakpuasan hati masing-masing di laman sosial susulan isu penggunaan lagu popular UNIC oleh Fitri Haris bagi satu acara.

Situasi menyebabkan peminat dua artis nasyid itu bergaduh sekaligus merendahkan martabat nasyid yang sepatutnya mengajak pendengar ke arah kebaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 6:56 PM