DATUK Jamal Abdillah di sidang media Konsert Duo Legenda Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M Nasir di Istana Budaya pada 20 hingga 23 Disember 2018. FOTO Zunnur Al Shafiq
DATUK Jamal Abdillah di sidang media Konsert Duo Legenda Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M Nasir di Istana Budaya pada 20 hingga 23 Disember 2018. FOTO Zunnur Al Shafiq


PENYANYI popular, Datuk Jamal Abdillah, 59, teruja apabila isteri Perdana Menteri, Tun Siti Hasmah menambah dua lagi lagu untuk mengiringi persembahan Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M Nasir dengan gesekan biola pada Konsert Duo Legenda yang berlangsung di Istana Budaya pada 22 Disember ini.

Menurut Jamal, berita baik itu disampaikan oleh Siti Hasmah ketika ditemui pada sesi latihan pertama di kediamannya hari ini.

“Sesi latihan berlangsung dengan baik pagi tadi. Hampir dua jam kami melakukan latihan bersama. Saya sangat teruja apabila beliau menyatakan minat untuk menambah dua lagi lagu untuk mengiringi persembahan saya menerusi lagu Kau Laksana Bulan dan Fatwa Pujangga.

“Jika sebelum ini hanya lagu Gubahanku dalam segmen istimewa pada malam VVIP,” katanya.

Menurut Jamal, Siti Hasmah begitu serius untuk menjayakan konsert terbabit apabila beliau kini giat menghadiri kelas biola untuk menjayakan segmen itu nanti.

“Saya rasa bangga apabila beliau menunjukkan minat luar biasa untuk menyertai konsert ini.

“Malah pagi tadi beliau turut membawa guru muziknya bagi memastikan persembahannya nanti berjalan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 6:17 PM
Digital NSTP Subscribe