PASIR MAS 21 NOVEMBER 2018. Pengacara dan pelakon terkenal tanah air, Noor Neelofa Mohd Noor, 29 hadir membaca surah yasin ke pusara arwah datuknya, Noor Mohamed Mohammad Din, 83 yang meninggal dunia akibat penyakit kencing manis di Tanah Perkuburan Islam Lemal, Pasir Mas. NSTP/ZAMAN HURI ISA
Ramlah Zainal


“SAYA masih ingat pesanan arwah datuk supaya sentiasa jujur, amanah dan tidak mengamalkan riba dalam urusan perniagaan,” kata pelakon dan pengacara popular Neelofa ketika mengulas kenangan bersama datuknya, Allahyarham Noor Mohamed, 83, yang meninggal dunia kira-kira 11 malam di hospital di Kota Bharu, Kelantan, 20 November lalu.

Jenazah Allahyarham Noor Mohamed selamat dikebumikan di Pasir Mas pada sebelah pagi keesokan harinya.

Menurut pengacara program Meletop itu, pemergian datuknya juga memberi kesan sangat mendalam dalam kehidupannya.

“Pemergian arwah datuk banyak mengubah saya untuk menjadi seorang anak dan ahli keluarga yang lebih baik.

“Saya berasa menyesal kerana kurang menghabiskan masa dengan arwah datuk ketika hayatnya dulu.

“Kini, saya juga lebih menghargai masa berkualiti untuk bersama ahli keluarga walaupun sibuk mengatur urusan perniagaan dan karier seni,” katanya kepada Harian Metro.

Kata Neelofa lagi, dia juga sempat berulang alik ke hospital menjaga arwah datuk seminggu sebelum pemergiannya.

“Saya dan ahli keluarga menjaga arwah datuk mengikut giliran di hospital.

“Saya juga sempat menukarkan lampin pakai buang datuk ketika itu buat pertama kalinya dan ia pengalaman yang sukar dilupakan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagaimanapun kata Neelofa, dia hanya dapat tahu berita pemergian datuknya selepas selesai buat siaran langsung program Meletop ketika itu.

“Saya menangis tanpa henti bila dapat tahu berita sedih itu.

“Kali pertama melihat arwah datuk nazak, saya juga sangat sedih dan banyak menangis di hospital.

“Namun, saya dan ahli keluarga juga sudah bersedia dari aspek mental untuk menerima berita pemergian datuk itu selepas seminggu menjaga arwah yang nazak ketika itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 8:05 PM