Ella tidak mahu lagi mengambil protege lain selepas Aina (kanan). FOTO HM Digital
Ella tidak mahu lagi mengambil protege lain selepas Aina (kanan). FOTO HM Digital
Ramlah Zainal


“SAYA tidak berhasrat untuk mengambil mana-mana artis baru untuk dibimbing selepas protege Aina.

“Bagi saya, Aina yang juga naib juara program realiti Mentor Legend itu ada kualiti berbeza dan berbakat menyampaikan lagu dengan bagus,” kata Ratu Rock, Ella ketika mengulas sama ada dia merancang mengambil artis baru untuk dibimbing ketika ini.

Menurut pemilik nama sebenar Nor Zila Aminuddin, 52, dia juga melihat Aina sebagai artis muda yang berbakat dan boleh diketengahkan dalam bidang muzik tanah air.

“Saya juga gembira melihat kemunculan ramai bakat baru yang digelar Budak Baru Nak Up (BBNU) dan ia perkembangan yang positif untuk mewarnai industri muzik ketika ini.

“Walaupun ada ramai bakat baru dari BBNU yang muncul, saya tetap memilih Aina kerana percaya dia ada kualiti yang dicari.

“Selain menyanyi, Aina juga berbakat dalam bidang penciptaan lagu

“Selain Aina, anak saudara saya, penyanyi Kaka Azraff juga berbakat dan mengikut jejak dalam bidang nyanyian,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas single duet bersama suaminya, juruterbang Azhar Ghazali pula, Ella bersyukur kerana single berjudul Peace.Love.Rindu itu terus mendapat sambutan dari peminat.

“Terus terang, saya selesa bekerjasama dengan suami sendiri kerana dia lebih mengetahui apa yang saya mahukan dalam lagu.

“Walaupun kami dari latar belakang berbeza tetapi sebagai isteri saya tetap meminta pandangannya dalam banyak perkara terlebih dulu,” katanya.

Pada masa sama, kata Ella, single duet bersama suaminya itu turut menarik peminat kanak-kanak.

“Kami juga akan menjayakan sesi penggambaran untuk klip video single duet ini tidak lama lagi,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Ellla juga masih dalam rangka promosi album solo Peace.Love.Rindu yang sudah dilancarkan pada Oktober 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 4:46 PM