Peminat melukis karikatur Adibah yang dikecam mahu jual rumah. FOTO Twitter/FB/NSTP
Peminat melukis karikatur Adibah yang dikecam mahu jual rumah. FOTO Twitter/FB/NSTP
Amirul Haswendy Ashari


PENYANYI Adibah Noor Mohd Omar, 48, menjadi mangsa kecaman netizen hanya kerana memuatnaik status mahu menjual salah sebuah rumahnya di Cheras.

Segelintir netizen dilihat mengecam usaha penyanyi itu sebagai terdesak kerana berdepan dengan masalah kewangan selepas pernah menyokong kerajaan sekarang pada Pilihan Raya Umum lalu.

Apatah lagi dalam laman Twitter dan Facebook miliknya, Adibah mendakwa keputusan menjual rumah itu dibuat kerana keadaan yang disifatkan sebagai waktu sukar untuknya.

"Waktu agar sukar. Mahu menjual rumah saya di Cheras. Keluasan 1540 kaki persgi, unit kondo, tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur dan balkoni luas, tingkat tujuh.

"Ada ke orang nak beli? Harga? Ratus-ratus ribu sahaja," tulisnya di dua laman sosial itu.

Di laman sosial Facebooknya pula, Adibah meluahkan pendapat bahawa dia baru sedar sudah membalas kecaman netizen kurang cerdik yang tidak berani menunjukkan muka atau identiti sebenar mereka.

"Senang kan? Baling batu sembunyi tangan," katanya sudah memadam dan menghalang netizen seperti itu daripada mengikuti laman sosialnya.

Katanya, dia berasa lucu dengan netizen yang mengutuk dan mentertawakannya sekarang terdiri daripada mereka yang berusaha untuk menjadi pengikutnya di laman sosial.

"Mereka ini ialah orang sama yang akan meminta saya menyanyi secara percuma apabila ada acara kebajikan sebab nak jual meja.

"Atau mereka yang akan ambil gambar dari jauh sebab tidak mahu 'kantoi' teruja nampak saya," tulisnya lagi.

Mengakui berada dalam masa sukar sejak 2015, dia mendoakan mereka yang sering mengecamnya sentiasa sihat, sejahtera, mewah dan semoga kesempitan hidup dijauhkan daripada mereka.

Dalam pada itu, usaha penyanyi popular dengan lagu Terlalu Istimewa dan Bahasa Rindu itu menjual rumahnya mula membuahkan hasil apabila ramai peminat bukan saja memberi sokongan malah ada yang menunjukkan minat untuk membeli.

Antara sokongan diterimanya adalah apabila seorang peminat di laman Twitter melukis karikatur penyanyi itu seolah-olah mempersenda netizen yang mengecam agar membela kucing kalau mahukan perhatian dan kurang kasih sayang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 4:00 PM