Shima bersama suami meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Sophia. FOTO Ihsan IG Shima Anuar
Georgie Joseph


PELAKON Shima Anuar menegaskan dia tidak perlu tunjuk ajar daripada sesiapa pun dalam proses membesarkan anaknya Marian Sophia yang kini berusia setahun.

Shima, 27, mengakui terkilan apabila ada segelintir pihak mempertikaikan caranya melayan Sophia yang disifatkan penuh kemewahan.

“Sejak melahirkan Sophia, saya sudah berjanji akan mendidik anak saya dengan penuh bersederhana dan itulah yang saya lakukan sekarang ini. Walau apa juga keadaan, saya tidak akan mewahkan dia dan mahu dia membesar sebagai insan yang sederhana.

“Pelik betul masih ada yang tetap mempertikaikan dan menjatuh hukum cara saya hanya dengan melihat foto di sosial media. Padahal, hakikatnya saya saja yang tahu bagaimana cara sebenar saya membesarkannya,” katanya.

Shima turut mengaitkan hal itu dengan sambutan ulang tahun kelahiran Sophia yang dilihat berlangsung meriah, semalam (Ahad).

“Saya pun tidak tahu apa yang mewah sangat dengan sambutan itu padahal kami cuma buat majlis di rumah sendiri. Bukannya kami melangsungkannya di hotel dan dibuat besar-besaran.

“Segala dekorasi untuk majlis itu pun saya dan suami yang beli serta pasang. Manakala, majlis pun sangat ringkas di mana kami cuma buat doa selamat dan diikuti dengan makan-makan,” katanya.

Terdahulu, Shima memuat naik status di Instagram Story mengatakan dia mahu ikut cara sendiri untuk membesarkan Sophia.

Dalam pada itu, Shima berkongsi berita gembira kini dia hamil anak kedua. Menurutnya, berita itu sangat bermakna buatnya apalagi Sophia bakal menerima adik baru.

“Kandungan saya kini berusia enam minggu. Berita itu datang tepat selepas Sophia mencecah satu tahun dan semestinya saya serta suami sangat-sangat gembira,” katanya.

Shima mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mohd Solih Toha pada 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 2:41 PM