X
GAMBAR busana perkahwinan yang dimuat naik Rizman dan Elfira dan tunang (gambar kecil). FOTO instagram Rizman Ruzaini dan Elfira Loy
GAMBAR busana perkahwinan yang dimuat naik Rizman dan Elfira dan tunang (gambar kecil). FOTO instagram Rizman Ruzaini dan Elfira Loy
Sudirman Mohd Tahir


SPEKULASI majlis pernikahan Elfira Loy dengan tunangnya, Faris Khairol Anuar semakin terjawab apabila pereka fesyen terkenal Rizman Ruzaini memuat naik gambar individu wanita mirip pelakon itu yang mengenakan busana perkahwinan.

Gambar beserta status ‘coming soon’ dan #bridesbyRR itu menguatkan lagi khabar angin pasangan itu bakal berkahwin awal tahun ini.

Rizman ketika dihubungi mengesahkan wanita dalam gambar itu adalah Elfira Loy dan pernikahan bakal berlangsung dalam masa terdekat.

“Betul, itu adalah El (Elfira). Saya dah tahu tarikh perkahwinan mereka, tapi tak boleh kongsikan lagi. Apa boleh dikatakan, ia bakal berlangsung dalam waktu terdekat ini. Jadi kita doakan yang baik-baik untuk mereka.

“Jenama Rizman Ruzaini sudah bekerjasama dengan El hampir 10 tahun. Dia antara selebriti yang kami tunggu-tunggu nak buatkan baju kahwin. Alhamdulillah, apabila tiba waktunya dia pilih kami.

“Insya Allah, kami akan menyediakan beberapa persalinan untuk majlis perkahwinan mereka nanti. Sejujurnya, kami berasa teruja,” katanya kepada Harian Metro.

Rizman berkata, rekaan itu adalah istimewa dan berbeza daripada kebanyakan rekaan busana perkahwinan dihasilkan sebelum ini.

“Setiap selebriti ada nilai sentimental dan pesona sendiri. Disebabkan itu, setiap rekaan kami untuk mereka atau orang biasa berbeza. Tak ada yang sama.

“Macam untuk majlis El ini, ia memang istimewa. Lagi satu, El jenis yang tak kedekut. Setiap baju yang ditempah dengan kami dia bayar dan tak pernah minta penajaan,” katanya.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan kenyataan daripada pihak Elfira tidak berjawab apabila mesej dihantar tidak berjawab.

Terdahulu, Elfira dan pasangannya yang juga Pengurus Besar di syarikat telekomunikasi mengikat tali pertunangan pada 2 September lalu secara tertutup membabitkan keluarga dan kenalan terdekat sahaja.

Sebelum bersama Faris, Elfira pernah bertunang dengan penyanyi Sufian Suhaimi, namun jodoh mereka tidak kesampaian selepas berpisah pada Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 9:55 AM