ZOEY Rahman. FOTO arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


“BUDAK zaman sekarang macam dah tak ada rasa malu. Selamba saja mesej (DM) nak tengok gambar ‘pisang’ (kemaluan). Apa yang mereka fikir?,” luah pelakon Zoey Rahman mengenai tindakan segelintir peminat golongan remaja lelaki dan perempuan yang menghantar mesej berbaur lucah di Instagram (IG).

Zoey, 33, atau nama sebenarnya Mohd Hairey Azhar Abd Rahman turut mendedahkan ada antara mereka yang tanpa segan silu menghantar gambar dan video ’peribadi’ sendiri.

Bagaimanapun, Zoey yang juga pelakon drama Mat Rukun mengambil pendekatan dengan memberi amaran dan menyekat daripada IG.

“Saya bukan artis pertama yang kena macam ini. Cuma, mereka tak buka DM, jadi tak tahu isi kandungan mesej yang dihantar. Macam saya pula jenis yang suka balas mesej peminat. Tak balas kata sombong pula.

“Namun, apa yang dikesalkan apabila tindakan mereka yang keterlaluan. Apa yang mereka buat seolah-olah tak berfikir panjang. Kalau zaman saya dulu, nak minta nombor telefon pun malu. Tapi budak sekarang sangat ke hadapan sampai ‘benda’ lain pun diminta.

“Ada juga jenis yang pada mulanya ‘memancing’ dengan bertanyakan mengenai produk. Kalau berkaitan perniagaan saya akan layan. Namun, lama kelamaan bermesej lucah pula. Itu saya akan terus sekat,” katanya kepada Harian Metro.

Zoey berkata, dia tidak terkejut dengan perkara itu kerana kecanggihan teknologi tanpa batasan sekarang membolehkan apa sahaja berlaku.

“Kecanggihan teknologi sekarang sukar dikawal sekali gus menjadikan mereka terlalu bebas untuk buat apa saja.

“Saya berpendapat, masyarakat kita kurang pendedahan mengenai keburukan laman sosial selain tak ada pemantauan rapi daripada ibu bapa. Sepatutnya, orang tua kena periksa telefon bimbit anak mereka.

“Jadi, tak hairan kalau perkara sebegini terjadi dan terus berleluasa. Seolah-olah ia adalah perkara biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 12:43 PM