Amira masih mencari. FOTO NSTP
Amira masih mencari. FOTO NSTP
Norhayati Nordin


LUAHAN perancangan untuk mendirikan rumah tangga ketika usia 27 tahun oleh penyanyi dan pelakon Amira Othman, nyata tidak sia-sia apabila hasratnya itu mendapat perhatian ramai lelaki.

Amira, 25, dihubungi berkata hasrat itu diluahkan sekadar menjawab soalan media mengenai perancangannya untuk mendirikan rumah tangga.

“Dalam kehidupan ini, perlu ada impian dan perancangan. Jadi, tidak salah untuk saya berkongsi perancangan yang memang diimpikan.

“Apatah lagi, umur pun makin meningkat dan usia 27 tahun itu memang tepat jika saya dipertemukan jodoh oleh Allah SWT.

“Sebagai hamba-Nya, saya sedar hanya mampu membuat perancangan dan selebihnya soal bila jodoh itu akan sampai hanya Allah yang menentukan.

“Apapun, saya tidak sangka luahan dikongsi itu mendapat maklum balas di luar jangka daripada kebanyakan lelaki yang menghantar mesej peribadi di media sosial,” katanya.

Menurut Amira lagi, ruangan mesej di akaun Instagram (IG) dan Facebook (FB) miliknya penuh kerana banyak menerima resume.

“Terus-terang, saya terkejut juga kerana sambutan sangat positif. Ramai lelaki yang menghantar mesej itu bertanya sama ada mereka berpeluang.

“Saya tidak tahu nak jawab apa kerana luahan perkongsian itu itu adalah perancangan masa depan saya untuk berkahwin dalam tempoh setahun dua lagi,” katanya.

Amira berkata dia hanya dapat meneliti beberapa mesej saja kerana jumlah yang banyak tetapi mengucapkan terima kasih kepada pengirim.

Ditanya mengenai teman istimewa, pemilik nama sebenar Nadia Amira Othman ini memberitahu dia hanya berkawan-kawan saja.

“Soal calon, terus-terang saya belum lagi menemuinya. Setakat ini, status hubungan saya dengan lelaki yang dikenali hanya kawan.

“Hubungan dijalin, tidak lebih dari itu kerana sebagai selebriti saya memerlukan calon pasangan yang menerima seadanya dan memahami tuntutan karier.

“Bukan mudah untuk mencari individu yang benar-benar memahami dan boleh menerima kesibukan karier saya sebagai penggiat seni,” katanya.

Selain itu, Amira berkata dia juga menginginkan lelaki yang memiliki kerjaya tetap, menghormati orang tua, penyayang dan bertanggungjawab.

Apapun, gadis manis ini tetap mengucapkan terima kasih kepada peminat dan penyokongnya di atas doa yang baik-baik dikirimkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 6:50 PM
Kabinet Malaysia 2020