Kenyataan Nadia di media sosial mengenai suaminya, Tauke (kiri). FOTO NSTP/IG Nadia Mohd Effendi
Kenyataan Nadia di media sosial mengenai suaminya, Tauke (kiri). FOTO NSTP/IG Nadia Mohd Effendi
Syafil Syazwan Jefri


PELAWAK dan pelakon, Tauke Jambu, 42, menafikan berlaku pertelingkahan antara dia dengan isterinya Nadia Mohd Effendi apabila isterinya menulis kenyataan di Instagram, mengatakan bahawa dia seorang ‘kaki betina’.

Tauke atau nama sebenarnya Zamratul Amri Zakaria berkata, hubungannya dengan isteri dalam keadaan baik.

“Biasalah, orang perempuan kalau tengah marah dia akan cakap benda-benda begitu. Kami tak ada masalah pun dan tidak bergaduh pun,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa dia menggodam dan menutup akaun Instagram isterinya, Tauke berkata itu adalah tindakannya sebagai suami.

“Bila sedang marah, isteri saya suka membuat kenyataan di media sosial seperti Instagram. Jadi, saya terpaksa tutup. Apa pun, semuanya sudah selesai,” katanya.

Isu bermula apabila gambar Tauke dan Nadia dimuat naik di akaun Instagram Nadia.

Namun, Nadia menggunakan akaun Instagram baru menulis di ruangan komen gambar itu bahawa bukan yang memuat naik gambar itu, sebaliknya, akaun Instagramnya sudah digodam oleh Tauke.

Nadia juga meluahkan isi hatinya yang tidak perlukan suami hipokrit dan sering bertukar pasangan.

“Cukuplah. Saya tak perlukan suami hipokrit sebegini,” tulisnya.

Di akaun Instagram barunya, Nadia juga sempat memuat naik beberapa ayat di Instagram Story antaranya mengenai orang luar yang menggunakan ‘ilmu’ selain satu lagi muat naik dengan tulisan ‘pedih’.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 2:55 PM