Sarah kecewa akaun IG kena godam. FOTO NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Sarah Fazny, 24, kecewa apabila laman Instagramnya digodam oleh individu yang dikesan berada di Bangkok, Thailand.

Sarah dihubungi berkata, dia sendiri menyedari bahawa Instagramnya digodam sejak semalam.

Penggodam hantar mesej meminta wang. FOTO IG

“Baru saja masuk tahun 2019, dah ada berita kecewa buat saya apabila Instagram saya digodam individu tidak bertanggungjawab.

“Saya cuba untuk log masuk semula ke akaun itu namun gagal kerana kata laluan sudah ditukar,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut penyanyi lagu Urusan Hati itu lagi, penggodam itu juga menghantar mesej melalui WhatsApp kepadanya dan meminta bayaran sekiranya mahu akaun Instagramnya dikembalikan.

“Dia bukan saja menggodam akaun Instagram saya, tetapi juga akaun emel saya. Dari situ, dia dapat nombor telefon saya dan menghantar mesej kepada saya.

“Dia meminta saya untuk membayar $200 sekiranya saya mahukan semula akaun Instagram itu. Dia juga beberapa kali menghubungi saya namun tak saya endahkan,” katanya.

Kata Sarah, dia kecewa kerana Instagram yang memiliki jumlah pengikut lebih 118,000 itu adalah seperti album gambar kenangan buatnya.

“Dalam Instagram itulah saya kongsikan kesemua gambar kenangan sejak saya menyertai Mentor, Duo Star sehingga D’Academy Asia 4. Jadi, kenangan itu tak ternilai buat saya.

“Bila gambar-gambar itu semuanya dipadam, saya rasa seperti hilang satu benda besar,” katanya.

Pagi ini, Sarah membuka akaun Instagram baru dengan menggunakan nama @sarahfaznyreal dan sudah mengumpul pengikut seramai 4,054 pengikut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 2:37 PM