Ullala nyanyian Mu’Adz dan Azwan akan digunakan untuk video promosi filem.
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI nasyid tempatan, Mu’adz Dzulkefly dan Azwan Ibrahim gembira apabila diberi peluang menyanyikan lagu Tamil bertajuk ‘Ullala’ dari filem ‘Petta’ lakonan lagenda filem Tamil, Rajinikanth.

Ullala nyanyian mereka akan digunakan untuk video promosi filem arahan pengarah muda, Karthik Subbaraj ini yang akan menemui penonton tempatan bermula 10 Januari sempena perayaan ‘Ponggal’.

Tawaran ini diberikan kepada mereka oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation (syarikat pemegang hak pengedaran filem itu untuk seluruh dunia kecuali India), iaitu Datuk Abdul Malik Dasthigeer.

Klip video ini akan digunakan untuk mempromosikan filem yang membawa maksud Tempat Tinggal di negara-negara Asean.

Mu’adz dan Azwan mengakui terkejut apabila diberikan peluang ini dan menganggap ia satu penghormatan buat mereka.

“Saya dan Azwan sebenarnya pernah bekerjasama dalam satu projek album lagu-lagu Tamil bersama komposer dan penulis lirik bernama Kavilnayagan Yuwaji.

“Tapi projek membabitkan lapan lagu sekitar enam tahun lalu tergendala dan terus terperap begitu saja. Bagaimanapun rezeki menyebelahi kami apabila terpilih menjayakan projek ini pula,” kata Mu’adz kepada Harian Metro.

Proses rakaman lagu ini bukanlah mudah dan mereka kembali bekerjasama dengan Yuwaji yang mengajar mereka lenggok dan sebutan, manakala Saran Z pula bertindak selaku pengarah bagi projek lagu ini.

“Proses rakaman Ullala ambil masa selama lima hari. Kami dapat lagu itu pada 21 Disember tapi dalam tempoh itu kami berdua sibuk dengan urusan masing-masing dan belum dapat berjumpa.

“Selepas berjumpa barulah kami belajar dan mendalami lagu ini sebelum masuk studio. Rakaman ambil masa hanya sekitar 10 jam.

“Kami sebenarnya pernah bergandingan menyanyikan lagu Tamil tempatan bertajuk ‘Azhagu’ pada 2014 menerusi kumpulan yang dinamakan Salaam,” kata Mu’adz.

Rakaman hanya selesai pada 2 Januari lalu dan untuk peringkat permulaan, mereka belum menghafal lirik lagu ini sepenuhnya.

“Ini lagu Tamil pertama bernada rancak yang kami nyanyikan. Sebelum ini kami banyak menyanyikan lagu-lagu Tamil yang berbentuk balada.

“Tapi Ullala memang sebuah lagu yang laju dan kami kena mahir menyampaikannya.

“Lirik pula ditulis dalam ejaan rumi tapi kami perlu faham maksudnya ketika menyanyi,” kata Azwan pula.

Mu’adz dan Azwan yang sudah lapan tahun terbabit menyanyikan lagu-lagu Tamil mengakui berhasrat untuk belajar Bahasa Tamil secara serius selepas ini.

“Kami pernah beraksi di Little India di Brickfields sempena pelancarannya pada 2011.

“Ketika itu kami menyampaikan lagu Satu Malaysia dalam Bahasa Tamil. Kami memang banyak menjayakan persembahan untuk kaum India.

“Kalau kita buat persembahan dikalangan orang Melayu, mereka hanya bertepuk tangan. Tapi berbeza dengan masyarakat India kerana ‘uncle-uncle’ datang dan peluk kami,” kata mereka.

Dalam pada itu, mereka turut berharap apa yang dilakukan dapat menjernihkan keadaan dan memupuk semangat harmoni dikalangan masyarakat majmuk negara ini.

Ullala digubah komposer muzik terkenal India, Anirudh Ravichander dan dinyanyikan oleh Nakash Aziz dan Inno Genga.

Mu’adz sebelum ini memulakan karier sebagai penyanyi solo pada 2008, manakala Azwan pula adalah ahli kumpulan nasyid ‘Fareast’ dan sudah menghasilkan lapan album.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 9:37 PM