ABDUL Malik (kanan) bersama Fazura dan pasangan duo Mu’adz serta Azwan ketika pelancaran filem Petta baru-baru ini. FOTO Asyraf Hamzah
Ridzuan Abdul Rahman

Pemegang hak pengedaran filem Petta lakonan Rajinikanth untuk seluruh dunia kecuali India yang menemui penonton Malaysia bermula semalam, Malik Streams Corporation Sdn Bhd merangka pelbagai publisiti menarik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Malik Dasthigeer mengakui pihaknya bertungkus-lumus memerah otak melakukan yang terbaik bagi memastikan Petta yang bermaksud Tempat Tinggal mencecah kutipan membanggakan, sekali gus mengatasi filem Kabali yang mencatat kutipan RM13 juta di Malaysia.

“Petta ditayangkan semalam sempena perayaan ‘Ponggal’ (pesta menuai). Ia kerjasama pertama Rajinikanth dengan pengarah muda Karthik Subbaraj dengan barisan pelakon termasuk pelakon Bollywood iaitu Nawazuddin Siddiqui, Vijay Sethupathi, Simran, Trisha dan Bobby Simha.

“Antara yang dirangka oleh kami adalah menganjurkan sebuah rekod pencapaian dalam acara Guiness Book of Record Attempt Largest Movie Poster on A Scaffholding di Kuala Lumpur.

“Tidak cukup dengan itu, kami turut menghiasi pelbagai kenderaan seperti treler, kontena, MPV dan kereta mewah (Lamborghini, Mustang, Audi R8, BMW 5 Series) dengan poster filen Petta sebagai ‘moving advertisement’,” katanya.

Selain itu, Malik Streams Corporation Sdn Bhd turut menghasilkan air mineral Petta, kemeja-T Petta dan membuka peluang buat dua penyanyi nasyid tempatan, Mu’adz Dzulkefly serta Azwan Ibrahim menyanyikan lagu Tamil bertajuk ‘Ullala’ dari filem itu yang akan digunakan untuk klip video bagi mempromosikan Petta di ASEAN.

“Kami amat menghargai Rajinikanth dan akan melakukan yang terbaik untuk filem ini kerana beliau pelakon legenda hebat. Setakat ini beliau sudah membintangi 161 filem.

“Rajinikanth mempunyai jumlah pengikut yang tinggi di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

“Beliau selebriti kedua yang mempunyai jumlah peminat paling ramai di Asia selepas Jackie Chan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Malik menyeru agar peminat tidak ketinggalan menonton Petta kerana kemungkinan ia karya terakhir lakonan Rajinikanth.

“Tidak mustahil kerana beliau pernah membayangkan mahu bersara daripada bidang seni sebelum menyertai bidang politik.

“Petta dijadualkan ditayangkan di 140 pawagam di seluruh tanah air dalam tiga bahasa iaitu Tamil, Hindi dan Telugu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 10:24 AM