SYAMEL. FOTO Nurul Shafina Jemenon
SYAMEL. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Najiy Jefri

Syamel merancang mengadakan persembahan khas buat peminat setianya di Singapura dan Malaysia tahun ini selepas hampir empat tahun mewarnai industri muzik tanah air.

Syamel berkata, sejak bergelar penyanyi, dia tidak pernah mengadakan persembahan atau konsert unplugged.

“Keberanian mengadakan persembahan solo hadir selepas saya yakin dengan pembabitan diri dalam bidang ini.

“Namun, ia bukanlah persembahan berskala besar tapi sekadar hadiah buat peminat yang selama ini menyokong karier saya,” katanya.

Menurut Syamel, persembahan yang ingin dibuat bukan syarat selepas empat tahun bergelar penyanyi sebaliknya sudah mencukupi lagu untuk didendangkan.

“Saya bukan letak syarat tapi sudah cukup lagu untuk sebuah persembahan mini.

Sebelum ini saya memang tiada keyakinan kerana nak suruh orang datang dan membeli tiket bukan perkara yang mudah.

“Namun, kali ini saya berani mempertaruhkan lagu single dan duet yang dimiliki,” katanya.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-33 yang bakal berlangsung pada 3 Februari ini, Syamel yang mempertaruhkan lagu Kau Pun Sama mengakui berdebar menanti hari terbabit.

“Saya sudah mula mengikuti kelas nyanyian cuma tarian yang bakal dipersembahkan belum bermula.

“Insya-Allah saya akan menggunakan khidmat penari Alam Wakaka untuk AJL 33 nanti. Saya juga akan mulakan latihan persembahan minggu depan. Banyak elemen yang tidak pernah saya buat pada AJL 32 akan dilakukan,” katanya.

Syamel berkata, dia berharap dapat memberikan persembahan terbaik pada anugerah berprestij itu.

“Walaupun tahun lalu menang Vokal Terbaik tapi saya tidak meletakkan harapan tinggi tahun ini. Boleh dikatakan hampir majoriti penyanyi senior bertanding dan mereka pasti pertaruhkan vokal untuk persembahan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 2:00 PM