SYAFIQ Kyle (kiri) jadi pilihan model klip video Siti Sarah (kanan). FOTO Arkib NSTP
Ramlah Zainal


“SAYA memang sangat meminati lakonan Syafiq Kyle dan dia memang pilihan yang pertama.

“Pada masa sama, Shuib juga memang mahukan Syafiq berlakon dalam klip muzik video ini,” kata penyanyi Siti Sarah ketika mengulas pemilihan pelakon popular Syafiq Kyle untuk beraksi dalam klip muzik video untuk singlenya Semakin.

Menurutnya, dia bersyukur kerana pelakon drama bersiri Nur itu banyak membantunya untuk merealisasikan klip muzik video seperti dikehendaki jalan ceritanya.

“Saya memang kaku pada mulanya tetapi Syafiq banyak membantu untuk menjiwai watak sepanjang penggambaran.

“Babak paling sukar ialah ketika Syafiq menarik tudung hingga terjatuh sehingga saya terbawa-bawa dengan babak itu ke rumah,” katanya.

Sarah ditemui pada majlis pelancaran muzik video dan MV Karaoke Semakin yang berlangsung di The Gardens Mall di Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya mengenai pemilihan Syafiq lagi, kata Sarah, dia berharap ia akan memberi impak yang besar pada klip muzik video Semakin.

“Memang pelik bila Shuib sendiri mencari pelakon lelaki untuk berlakon dalam klip muzik video saya.

“Pihak kami juga terpaksa merisik Syafiq lebih awal untuk menawarkannya berlakon dalam klip muzik video ini kerana agenda seninya sangat padat.

“Alhamdulillah, ia juga rezeki bila kami dapat bekerjasama dan saya serta suami puas hati dengan hasilnya,” katanya.

Terdahulu, Sarah menganjurkan pencarian pelakon lelaki terbabit selepas berada dalam dilema untuk memilih pelakon bagi beraksi dalam Klip muzik video untuk singlenya, Semakin.

Sarah dibantu suaminya Shuib juga meninjau pendapat peminat mereka melalui laman Instagram.

Mengungguli carta pilihan peminat mereka adalah pelakon Remy Ishak, Fikry Ibrahim dan Zul Ariffin termasuk Shuib sendiri.

Muzik video Semakin mula ditayangkan jam 5 petang ini di Youtube channel Indigital Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 7:18 PM