SALAMIAH sudah tinggal 20 tahun bersama Bubu. FOTO Instagram Salamiah dan Arkib NSTP.
Michelle Gun


PENYANYI Salamiah Hassan sanggup berbelanja ribuan ringgit setiap bulan demi rawatan dan makanan khas kucing tua kesayangan berusia 20 tahun.

Menurut penyanyi berusia 67 tahun itu, kucing jantan bernama Bubu memerlukan penjagaan rapi kerana menghidapi masalah buah pinggang, kencing manis selain buta.

"Setiap pagi, saya perlu mengambil darah Bubu untuk memeriksa tahap gula kerana dia ada kencing manis. Makanan diberikan juga khas kerana dia sudah tiada gigi dan harga satu tin memang mahal.

"Belanja lain termasuk ubat dan peralatan untuk rawatan," katanya ketika pada Majlis Sumbangan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), hari ini.

Pada majlis itu, Salamiah antara 15 artis berusia 60 tahun ke atas menerima sumbangan sebanyak RM2,000 sempena perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina.

Sekiranya ada undangan persembahan di luar kawasan, Salamiah berkata, dia akan mengupah doktor haiwan peribadi untuk menguruskan kucingnya.

"Bayaran sekali lawatan doktor adalah RM55. Tambahan pula, Bubu perlu diberikan ubat untuk buah pinggang menerusi drip dua kali seminggu," katanya.

Penyanyi Surat Terakhir itu menganggap pengorbanan terbabit sebagai tanggungjawabnya ketika mengambil kucing terbabit untuk dibela.

"Saya sayang dia kerana sudah 20 tahun kami hidup bersama. Apabila keluar rumah, saya sentiasa teringat dengannya.

"Setiap kali menerima bayaran persembahan, saya akan memperuntukkan sebahagian wang untuk perbelanjaan Bubu," katanya.

Sebelum ini, Salamiah mempunyai enam kucing, namun lima daripadanya meninggal dunia akibat sakit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 9:52 PM