VIDEO klip Pujaan Hati nyanyian Adira ditonton hampir satu juta sejak dimuat naik di YouTube. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Ramlah Zainal


“SAYA tidak kisah jika babak bersentuhan dengan pelakon lelaki dalam video muzik rasmi single Pujaan Hati akan dikecam netizen nanti.

“Saya memang tidak letak sebarang syarat pada pengarah sebelum penggambaran muzik video dimulakan pada Oktober lalu.

“Suami juga belum tengok muzik video ini tetapi saya tahu dia okay saja,” kata penyanyi popular Adira Suhaimi ketika mengulas babak bersentuhan dengan pelakon lelaki dalam video muzik rasmi Pujaan Hati.

Menurut Adira, 26, babak bersentuhan dengan pelakon lelaki itu dibuat untuk menghidupkan jalan cerita muzik video single Pujaan Hati.

“Saya juga hanya melakonkan babak ini untuk menjiwai watak seperti dikehendaki jalan ceritanya.

“Saya juga sudah bersedia jika babak ini akan mendapat kecaman daripada netizen nanti,” katanya ketika pelancaran single dan muzik video Pujaan Hati yang berlangsung di The Garden Malls, Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas sambutan pada video lirik single Pujaan Hati, kata Adira, ia sudah mencecah tontonan hampir satu juta sejak dimuat naik di saluran YouTube Nova Music Videos sejak dilancarkan 17 Disember lalu.

“Saya bersyukur kerana single Pujaan Hati yang menjadi runut bunyi drama bersiri Pujaan Hati Kanda juga trending sejak bersiaran di Slot Akasia TV3 ketika ini.

“Saya juga berharap single Pujaan Hati akan mengembalikan semula nama kerana turut merancang untuk membuat ‘comeback’ dan kembali aktif dalam bidang nyanyian pada tahun ini,” katanya.

Ditanya penerimaan Datuk Red pula, Adira berkata, suami tidak menghalangnya untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian tahun ini.

“Apa yang penting, saya tidak mengabaikan tanggungjawab pada dua anak dan rumah tangga,” katanya.

Adira berkahwin dengan Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali dengan Datuk Red, 40, pada 2015.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Anggrek dan Asan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 7:25 PM