Barisan pelakon yang menang anugerah. FOTO Ihsan PR 8TV & NTV7
Michelle Gun


RANGKAIAN Televisyen Media Prima Berhad menerusi saluran ntv7 dan 8TV berjaya merangkul sembilan trofi pada malam kemuncak Anugerah Rainbow TV Keempat yang berlangsung di Hainan, China.

Drama Beautiful World - Husband terbitan 8TV menggondol tiga trofi bagi kategori Komedi Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik Komedi (Jack Yap) dan Pelakon Wanita Terbaik Komedi (Wayne Cai).

Karya nukilan Moo Siew Keh itu juga memenangi kategori Penulis Skrip Terbaik.

Selain itu, bintang drama Beautiful World - Crow, Louisa Chong dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

Pelakon jelita Emily Chan dinobatkan sebagai Pembantu Pelakon Wanita Terbaik menerusi persembahannya dalam drama 8TV, Growth Behind The Sun.

Dua trofi lain dimenangi personaliti 8TV, Gary Yap dan Natalie Ng yang masing-masing membawa pulang trofi Pengacara Lelaki Hiburan Terbaik bagi program Ho Chak dan Pengacara Wanita Hiburan Terbaik untuk musim pertama I Can See Your Voice versi Cina.

Musim ketujuh program realiti ntv7, Mandarin Battle Stars juga berjaya merangkul trofi bagi kategori Program Kuiz dan Permainan Terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Berhad, Johan Ishak berharap kemenangan itu dapat menjadi pembakar semangat kepada produksi dan pelakon untuk terus berusaha memberi persembahan berkualiti.

“Alhamdulillah, tahun ini bermula dengan berita baik apabila program ntv7 dan 8TV menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

"Penghargaan harus diberikan kepada barisan pelakon, kru di belakang tabir serta semua pihak terbabit dalam produksi," katanya.

Majlis itu berlangsung Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 7:51 PM