NABIL Ahmad. FOTO Arkib NSTP
NABIL Ahmad. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


PENGACARA dan pelawak Nabil Ahmad kini bergelar penyanyi apabila secara rasmi melancarkan single dan muzik video lagu, Pening di saluran YouTube Mixology Music, petang semalam

Nabil, 36, atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad berkata, dia mahu peminat mendengar terlebih dahulu nyanyiannya sebelum memberikan sebarang komen.

“Lagu ini ciptaan DJ Fuzz dan lirik oleh saya dan Waris. Menerusi lagu ini saya menyanyi dan rap sekali. Sejujurnya, saya berasa gementar nak menunggu reaksi daripada peminat.

“Saya tak kisah mereka nak komen dan kritik apa sekali pun. Cuma, saya berharap mereka dengar, tonton dan kongsikan muzik video ini. Berilah saya peluang dahulu kerana ini percubaan pertama saya sebagai penyanyi untuk pasaran komersil,” katanya kepada Harian Metro.

Nabil berkata, peluang merakamkan lagu itu diberikan selepas maklum balas baik diterima menerusi lagu Baik Punya nyanyian bersama Alif Satar tahun lalu.

Menurut Nabil, ini permulaan kepadanya untuk meneroka cabang seni baru dan akan cuba untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

“Lagu Baik Punya juga adalah ciptaan DJ Fuzz. Tetapi ia untuk kempen pelancongan dan bukan pasaran komersial. Namun, apabila lagu itu dapat sambutan baik, DJ Fuzz mencadangkan saya untuk merakamkan lagu sendiri.

“Saya okey saja dan anggap ia peluang baru. Kalau sudah ada yang buka jalan untuk saya, kenapa pula nak tolak. Saya juga menganggap ini satu eksperimen. DJ Fuzz cakap, kalau lagu ini berjaya boleh rakamkan lagu lain selepas ini.

“Saya juga tidak mahu meletakkan harapan tinggi. Setiap maklum balas saya perlu ambil kira untuk penambahbaikan pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 1:07 AM