Amirul Haswendy Ashari


“JIKA konsep Gegar Vaganza (GV) telus dan strategi pemasaran tidak mengaibkan sesiapa, saya tiada masalah (sertai),” luah penyanyi 90-an, Mac Ruhayu.

Luahan penyanyi dikenali melalui lagu Ditakdir Kita Bersama susulan warganet memberi pelbagai reaksi pada video tular penyanyi itu menyanyi bersama seorang penyanyi orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Dalam rakaman video yang kini mencecah hampir 300,000 tontonan dan lebih 2,000 perkongsian di laman Facebook, Mac kelihatan menyanyi bersama dan berterima kasih kepada penyanyi OKU itu kerana menyanyikan lagunya.

Malah, penyanyi OKU itu kelihatan terkejut dan gembira kerana tidak menyangka penyanyi asal lagu itu sudi berduet bersamanya di tepi jalan.

“Saya tidak sangka video dirakam rakan artis Tatty Ismail secara suka-suka menjadi tular dan ramai warganet yang menonton video itu memberi komen mahu saya menyertai GV.

“Bagi saya, sekiranya GV masih mengekalkan konsep sama, saya tidak berminat kerana banyak lagi program boleh diwujudkan untuk bersama peminat,” kata penyanyi berasal dari Sarawak itu.

Katanya, dia masih aktif menyanyi dan baru saja muncul dengan single Moga Kau Mengerti untuk album 5 Suara pada hujung tahun lalu.

Pada masa ini, dia sibuk menjalani sesi promosi album itu bersama rakan artis lain antaranya Adilla Idris, Norlie Tamam, Azie Mustapha dan Haslinda.

Malah dia juga bakal mengadakan Showcase Glam & Night 90's bersama beberapa rakan artis 90-an di Shah Alam, pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 3:31 PM
VIDEO tular Mac Ruhayu menyanyikan lagu Ditakdir Kita Bersama dengan seorang penyanyi OKU mendapat pelbagai reaksi warganet. FOTO Facebook Mac Ruhayu
VIDEO tular Mac Ruhayu menyanyikan lagu Ditakdir Kita Bersama dengan seorang penyanyi OKU mendapat pelbagai reaksi warganet. FOTO Facebook Mac Ruhayu