JAMAL bimbang dengan kesihatan isterinya, Zai Izzati yang keguguran. FOTO Rosela Ismail
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI terkenal Datuk Jamal Abdillah, 60, mengakui menginginkan anak menerusi perkahwinan terbaru dengan isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 25, yang dikahwini pada 1 April 2017.

“Memang hajat saya inginkan seorang anak, tak kiralah perempuan atau lelaki. Tapi isteri saya dah beberapa kali mengalami keguguran dan sekarang dalam fasa jumpa pakar untuk berubat serta berurut.

“Doktor menjelaskan isteri mempunyai masalah hormon. Namun kami masih tak putus harapan untuk mendapatkan anak.

“Tak tahulah apa nasib dia. Kahwin dengan saya, terus jadi begitu pula,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert 3 Suara di Dewan Berjaya Kelab Equestrian Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Beliau sekali lagi akan bergandingan dengan Ameng Spring dan Zamani Slam untuk menghiburkan peminat mereka di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak pada 6 April nanti.

Jamal berkata, isterinya mengalami pendarahan tanpa henti sejak beberapa bulan lalu dan masalah itu membelenggunya setiap hari.

“Setiap hari darah keluar dan kalau difikirkan memang tak logik langsung. Saya rasa ada benda pelik dalam perkara ini.

“Orang nak tuju pada saya tak dapat, akhirnya terkena pada isteri. Doktor mengesahkan ia berpunca daripada masalah hormon, tapi kami ulang alik buat rawatan pun sama saja bendanya. Berat badan isteri pun makin susut.

“Baru-baru ini saya bawa Pakar Perubatan Islam dari Indonesia datang ke rumah sebagai ikhtiar,” katanya.

Jamal berkata, ilmu jahat itu mungkin tidak dapat mengenainya kerana dibekalkan pendinding oleh bapanya.

“Pendinding ini dah lama ada. Ayah saya ustaz, bermacam ayat suci dibekalkan kepada saya dan dah sebati.

“Mungkin nak tuju kepada saya tapi terpesong kepada orang lain. Sudah dua, tiga ustaz saya panggil untuk mengatasi masalah ini.

“Kami pun dah tak tinggal di rumah di Shah Alam kerana isteri berasa tak selesa seperti gatal badan. Kasihan isteri kerana orang cemburukan saya tapi tak pasal-pasal dia kena,” katanya.

Jamal mempunyai dua anak, Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13, hasil daripada dua perkahwinan iaitu dengan Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 4:51 PM