MAWI dapat keyakinan mengarah. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin

PENGALAMAN belasan tahun ditimba Mawi sepanjang bergelar anak seni dimanfaatkan sebaik mungkin dengan mempelbagaikan bakatnya.

Bermula sebagai penyanyi, anak jati Kulai, Johor ini kemudian bergelar pelakon, pengacara, penyampai radio dan kini pengarah.

Berbicara mengenai perjalanan kariernya, Mawi berkata dia sentiasa bersikap terbuka untuk mencuba apa saja cabang seni.

Ujarnya, asalkan ada ruang yang dilihat sebagai peluang, ia tidak sesekali dilepaskan begitu saja.

“Kalau dinilai populariti, memang ada penurunan tetapi tidaklah begitu ketara. Saya masih ada kelompok peminat tersendiri.

“Seiring perkembangan industri seni tempatan, saya cuba pelbagaikan bakat agar dapat bertahan.

“Ia wajar dilakukan kerana persaingan agak sengit dan tidak menjadi kesalahan jika saya mencabar keupayaan sendiri,” katanya.

Mawi berkata, dia berani mengarah filem kerana sebelum ini pernah menghasilkan beberapa telefilem.

“Dengan sokongan keluarga dan rakan karib, saya peroleh keyakinan duduk di kerusi pengarah filem.

“Diharap filem sulung saya dapat diterima baik penonton,” katanya.

Mengulas mengenai filem yang masih tiada judul, Mawi memberitahu hingga kini dia masih mencari-cari tajuk sesuai untuk karya arahannya itu.

“Entahlah, sampai sekarang saya belum dapat judul sesuai untuk filem dihasilkan meskipun sudah lulus Skim Wajib Tayang.

“Malah, saya bersyukur hanya satu babak saja yang dipotong Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk karya ini biarpun ada watak golongan lesbian, gay, biseksual dan dan transgender (LGBT) dipaparkan.

“Terus terang, saya bimbang juga sekiranya watak berkenaan dipotong kerana faktor sensitiviti tetapi, alhamdulillah tiada masalah,” katanya.

Mengulas lanjut kebimbangan itu, Mawi berkata selaku pengarah filem setiap watak dan babak dihasilkan adalah penting bagi dirinya.

“Ini kerana watak dan babak berkenaan memiliki pembawaan jalan cerita masing-masing dalam karya seni yang dihasilkan.

“Cuma, persoalan dihadapi saya sekarang adalah belum ada judul. Saya harap ia diperoleh dalam masa terdekat.

“Saya juga bercadang mengumumkan judul filem itu pada sidang media yang berlangsung Februari nanti,” katanya.

Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, 38, turut menggandingkan tiga rakan baiknya iaitu Hazama, Along Cham dan Joey Daud sebagai bintang utama filem terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 11:13 AM