AZREL Ismail. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON Azrel Ismail tidak menafikan bahawa dia adalah lelaki yang sangat cerewet dalam mencari jodoh.

Menurut pelakon berusia 35 tahun itu, perkahwinan bukanlah perkara mudah yang boleh dipandang remeh.

“Ada orang yang menggelarkan saya sebagai lelaki yang cerewet. Ya, mestilah saya cerewet kerana saya mahukan jodoh yang betul-betul tepat untuk saya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya bintang filem Pulang itu, dia yakin bahawa setiap manusia di muka bumi ini sudah tentu mahu jodoh yang berpanjangan.

“Saya perlu menjadi selektif kerana perkahwinan itu adalah satu hubungan serius dan panjang. Bukan seperti mereka yang bercinta kerana ini adalah untuk kehidupan bersama,” katanya.

Azrel tidak menafikan ada wanita yang cuba mendekatinya, namun menyerahkan semuanya kepada jodoh.

“Tipulah kalau saya cakap, tidak ada orang yang mendekati saya. Memang ada, cumanya saya serahkan kepada jodoh.

“Kalau ada jodoh dengan sesiapa, saya akan kahwin juga cumanya, saya sendiri pun tidak tahu bila masanya akan tiba,” katanya.

Buat masa sekarang, dia lebih selesa memberi tumpuan kepada kerjaya seninya yang nampaknya berkembang dengan positif.

Terbaru, Azrel kini berada di Scotland bagi menjalani penggambaran drama bersiri Dia Adelia di samping beberapa pelakon lain antaranya Eyka Farhana, Fadlan Hazim dan Liza Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 6:44 PM