MAMAT Khalid masih koma di pusat perubatan swasta di Petaling Jaya. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin


“MAAF ya, abang masih dikomakan untuk tempoh 48 jam. Sesiapa pun tak dibenarkan melawat,” kata isteri kepada pengarah popular, Mamat Khalid, 55, iaitu Hasmah Hassan mengenai keadaan suaminya itu.

Hasmah atau mesra dengan panggilan Kak Intan ketika dihubungi berkata, dalam tempoh itu keluarga juga tidak dibenarkan melawat Mamat yang kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.

Hasmah meminta orang ramai terutama peminat filem Mamat mendoakan suaminya itu supaya segera sihat.

Katanya, sejak jam 12 tengah malam tadi, doktor belum membenarkan mereka sekeluarga memasuki wad ICU berkenaan kerana doktor mahu Mamat berehat.

Difahamkan, Mamat yang popular dengan siri filem Hantu Kak Limah dan Rock dimasukkan ke hospital selepas mengalami batuk berterusan hingga dia sukar untuk tidur.

Dia dibawa ke Hospital Selayang, kelmarin sebelum dipindahkan ke pusat perubatan berkenaan.

Doktor kemudian memberikan dos ubat yang membolehkannya berehat.

Pada April 2017, Mamat pernah dimasukkan ke ICU di sebuah pusat perubatan di Ampang, Selangor akibat kepenatan dan sesak nafas.

Mamat baru saja selepas mengarah filem sekuel Rock berjudul Rock 4: Quo Vadis Komer yang kini dalam proses suntingan.

Berita berkaitan

'Doakan Abang Mamat segera sihat...'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 3:12 PM