GAMBAR tular Emma Maembong bersama seorang lelaki di Dubai. FOTO Instagram Emma Maembong
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON Emma Maembong mengaku dia adalah wanita tidak bertudung di dalam gambar bersama seorang lelaki yang juga abang kepada orang kenamaan yang tular, hari ini.

Bagaimanapun, Emma, 27, menafikan dia adalah wanita berpakaian seksi dalam satu lagi gambar bersama lelaki sama di dalam sebuah bilik hotel yang turut tular.

“Saya minta maaf. Memang semuanya salah saya sebab terlalai. Gambar yang tidak bertudung itu adalah saya. Ia memang salah saya dan jangan salahkan orang lain,” katanya kepada Harian Metro.

Emma berkata, dia tidak tahu kenapa gambar itu disatukan dengan gambar lain yang terbukti bukan dirinya.

Difahamkan, gambar lelaki terbabit bersama wanita di dalam bilik hotel itu diambil dengan wanita lain empat tahun lalu.

“Gambar itu bukan saya. Itu langsung memang bukan saya. Tak tahulah kenapa disatukan dengan gambar lain.

“Maklumlah gambar saya tak bertudung tersebar, kemudian mereka nak satukan dengan gambar orang lain pula. Tak tahulah apa niat mereka,” katanya.

Emma berkata, dia tidak mahu pihak lain disalahkan sama ada rakannya, orang yang rapat, keluarganya serta lelaki itu.

“Ini salah saya sepenuhnya. Netizen jangan buat tuduhan sendiri. Kalau ikutkan kenyataan lelaki itu pun, gambar bersama gadis itu diambil empat tahun lalu,” katanya.

Emma berkata, gambar dia tidak bertudung bersama lelaki itu diambil seminggu lalu.

Selain itu, Emma turut tampil membuat permohonan maaf di Instagram Story berhubung perkara itu.

Dalam tulisannya, Emma juga berterima kasih terhadap individu yang menasihatinya dan berusaha membalas setiap pertanyaan diajukan di Instagram.

Sebelum ini Emma pernah memuat naik gambar bersama lelaki itu dalam Instagram masing-masing dengan kapsyen sebagai rakan karib.

Tidak ketinggalan, dia juga memuat naik gambar bersama lelaki itu dan menulis ucapan selamat hari jadi ketika mereka melancong ke Dubai pada 19 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 8:12 PM