NAZIM Othman (kiri) dan Izreen Azminda (kanan) sokong tindakan Linda Rafar ambil tindakan terhadap netizen. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


BUKAN saja Linda Rafar terkesan dengan komen keterlaluan pengguna laman sosial, tetapi beberapa artis lain yang turut menjadi mangsa buli siber berkongsi pengalaman sama.

Bezanya, Linda mengambil langkah berani bakal memfailkan saman terhadap lebih 100 pengguna laman sosial yang menulis komen keterlaluan memburukkan diri dan keluarganya berhubung isu fitnah sekumpulan jururawat di Hospital Shah Alam pada Disember tahun lalu.

Pelakon, Izreen Azminda, 34, yang teruk dikecam gara-gara berkahwin dengan suami orang pada 2017 mengakui mengalami tekanan hingga mengambil keputusan menutup ruangan komen di Instagram.

Katanya, pada mulanya dia memang tertekan sebab ia pengalaman pertama terjadi pada dirinya dan selama ini tidak pernah pun dikecam serta dihentam seteruk itu.

“Memang emosi terganggu sebab komen mereka sangat keterlaluan. Cuba mereka duduk di tempat saya atau artis lain yang dikecam, apa mereka rasa?.

"Disebabkan itu, saya ambil keputusan tutup ruangan komen dan ia sangat berbaloi. Sudah masuk tahun kedua saya tutup. Memang lega dan tenang saja. Tak perlu lagi saya hadap dengan komen jahat dan caci-maki mereka.

"Saya bukannya takut, tetapi tak mahu Instagram dipenuhi dengan 'sampah' dan komen negatif. Kalau mahu apa-apa, boleh DM (direct message) saja. Ramai yang berbuat sedemikian dan saya akan balas," katanya.

Ditanya mengenai tindakan Linda, Izreen berkata ia wajar dilakukan kerana membabitkan keselamatan diri.

"Saya sokong tindakan berani Linda. Ia bagus supaya memberi pengajaran kepada netizen. Saya pula malas nak ambil pusing walaupun komen mereka menjatuhkan maruah saya dan keluarga.

“Ada yang komen hingga mengugut arwah ibu Linda. Jadi, memang wajar dia ambil tindakan undang-undang. Biar mereka sedar yang mana jangan sesuka hati nak pijak kepala artis," katanya.

Sementara itu, pelakon Nazim Othman, 35, yang menjadi antara selebriti sering dikecam di Instagram mengakui mengalami tekanan.

Katanya, dia tidak mengalami kemurungan, tetapi sekadar tekanan dan tidak sampai tahap berkurung dalam rumah serta masih menjalani kehidupan seperti biasa dan keluar bekerja.

“Takkan disebabkan orang luar, saya nak hukum diri sendiri. Tak adil untuk diri saya.

"Walaupun sering dikecam, saya bersyukur kerana Allah kurniakan rezeki dan nikmat yang tak pernah putus. Dalam masa sama, masih ramai sebenarnya yang sayangkan saya.

"Saya juga tak perlu tutup ruangan komen di Instagram. Bagi saya ia pilihan masing-masing, cuma saya sekat mereka yang tulis komen keterlaluan termasuk menghina keluarga. Nak maki dan hina saya, silakan," katanya.

Nazim beranggapan sikap netizen itu tidak ubah seperti orang sakit kerana sering mencari salah dan menimbulkan masalah.

"Saya tak patut bersedih, sebaliknya netizen yang patut merasainya. Ini kerana mereka yang suka memaki dan menghina.

“Jadi, mereka sebenarnya yang 'sakit' dan dirundung masalah. Cara nak elakkan masalah itu, mereka serang orang lain," katanya.


ZED Zaidi (kanan) sedia jadi orang tengah bersama SENIMAN bagi kes membabitkan artis seperti dihadapi Linda Rafar (kiri). FOTO Arkib NSTP

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang akta bagi mewakili artis yang menjadi mangsa buli siber.

“SENIMAN tak ada kuasa itu dan akta tertentu. Kes sebegini termaktub di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Apa yang kita boleh buat adalah bantu dan nasihat mereka untuk mencari saluran betul. Sekiranya mereka buat aduan pada persatuan, kita boleh jadi orang tengah.

"Lagipun kebiasaannya isu sebegini membabitkan peribadi dengan pihak lain. Jadi, tak sesuai persatuan masuk campur. Kecuali jika isu sesama artis, persatuan cuba ambil tindakan termasuk isu yang relevan dengan persatuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 7:37 PM