Fatin akan pastikan anak-anak berada di depan mata. FOTO NSTP
Fatin akan pastikan anak-anak berada di depan mata. FOTO NSTP
Amirul Haswendy Ashari


"SAYA akui ramai yang 'geram' melihat Arrian dan tulis komen bukan-bukan," kata pelakon Fatin Afeefa susulan wujud segelintir warganet meninggalkan komen 'bernafsu' mengenai anaknya, Adam Aisy Arrian, 7, di laman sosial.

"Saya ada membaca komen-komen mereka dan cuba berfikiran positif dengan menganggap ia hanya gurauan.

"Perkara itu menjadi isu besar apabila ramai menganggap ia perbuatan 'pedofilia'," kata Fatin.

Pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu berkata ada juga peminat menasihati agar membuat laporan polis.

Pun begitu, Fatin ketika dihubungi mendakwa perkara itu belum sampai ke tahap serius dan ia masih boleh dikawal.

Katanya, Arrian kanak-kanak pemalu dan agak sukar bergambar.

"Warganet kena faham mereka bukan 'public figure' dan saya mahu berkongsi saat bersama Arrian kerana dia memang susah nak ajak bergambar," katanya.

Bagaimanapun, Fatin sentiasa memantau dan menitik beratkan isu keselamatan anaknya.

Katanya, dia akan memastikan anak-anaknya sentiasa berada di depan mata jika di bawa keluar bersama ahli keluarga lain.

"Saya ajar Arrian, hanya mereka yang saya kenal saja dia dibenarkan bercakap apatah lagi apabila keluar, peminat panggil nama dia berbanding saya.

"Apabila berada di tempat ramai orang pula, saya akan pastikan pembantu peribadi mengekori rapat dan dia tidak terlepas daripada pandangan," kata Fatin.

Sebelum ini, beberapa netizen terutama golongan wanita meninggalkan komen yang dianggap tidak sesuai antaranya "okaylah jodoh I baru darjah satu".

Beberapa warganet mempertahankan tindakan mereka dan menganggap ia perkara biasa.

Beberapa warganet golongan lelaki pula melihat perbuatan itu sebagai tidak sesuai kerana ia boleh dianggap sebagai perbuatan pedofilia.

Seorang lelaki dikenali sebagai Ikhwan berkata, kalau lelaki tegur perempuan komen seperti itu ramai 'back up' dia hanya melawak.

"Kalau lelaki yang niat melawak habis kena marah, kena maki," tulisnya di laman Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 8:17 PM